Pak Jamal membancuh kopi di dapur gerainya. Keadaan begitu sunyi semenjak serangan para penyamun di kawasan itu. Orang kampung menjadi takut untuk meninggalkan rumah mereka. Banyak rumah yang musnah dibakar para penyamun boleh dilihat daripada gerai Pak Jamal.
Perlahan Pak Jamal menghampiri seorang pemuda yang duduk di gerainya semenjak tadi tanpa membuat apa-apa permintaan. Dia menghulurkan kopi yang dibancuhnya kepada pemuda itu.
"Orang muda. Minumlah. Ini percuma." kata Pak Jamal sambil membakar rokok gulungnya.
Pemuda itu menganggukkan kepalanya lalu meneguk kopi yang diberi itu.
"Anak nak menuju ke mana?" Pak jamal cuba membuka cerita.
"Tidak ke mana. Cuma berjalan dan kembara." sahut anak muda itu.
Pak Jamal memerhati anak muda itu dari atas kepala hingga ke bawah kakinya. Tubuhnya tidak segagah mana. Dia kelihatan lebih seperti seorang petani biasa jika mahu dibandingkan dengan bentuk tubuh seorang pendekar.
Pak Jamal begitu hairan bagaimana anak muda ini boleh berkelana seorang diri dengan fizikalnya yang tidak begitu gagah.
"Apa anak kembara seorang diri?" Pak Jamal meluahkan kehairanan yang bermain di kepalanya.
Anak muda itu menunjukkan jarinya menandakan angka dua lalu berkata, "Saya bersama dua orang lagi tapi mereka ketinggalan di belakang. Saya sedang menantikan mereka di sini."
Pak Jamal menganggukkan kepalanya lalu menepuk bahu anak muda itu. Pak Jamal pun kembali ke dapur di gerainya.
Puluhan minit telah berlalu, anak muda itu masih duduk bersendiri. Keadaan di gerai itu juga kekal sunyi tidak berpengunjung.
Tidak lama kemudian, datang sekelompok penyamun yang membuat kerosakan beberapa hari lalu di kawasan itu. Tapi peliknya kali ini mereka datang dengan keadaan seperti telah dibelasah. Ada yang dipapah tidak mampu berjalan.
"Hei, orang tua! Lekas berikan perubatan kepada kawan saya." dengus lelaki botak yang begitu besar tubuhnya.
"Maaf nak. Pakcik tidak punya benda seperti itu di gerai Pakcik. Biar Pakcik pulang dahulu ke rumah untuk mengambilnya." Jawab Pak Jamal tenang.
Lelaki botak itu bersetuju lalu menyuruh seorang kawannya untuk mengekori Pak Jamal ke rumahnya.
Ketika melangkah Pak Jamal menoleh sebentar ke belakang melihat anak muda di gerainya itu. Dia merasa simpati. Entah apa yang akan berlaku terhadap anak muda itu. Pak Jamal cuma mampu bersimpati dan berlalu pergi.
ns216.73.216.143da2