[Content warning: self harm]
Sejak hari itu, doktor menjalani pelbagai jenis ujian pada Ratna. Mereka juga memberikan pelbagai jenis ubat penenang kerana Ratna sering mengamuk kerana tidak mahu mengambil bahagian dalam ujian. Disebabkan Ratna masih kecil, pihak hospital meletakkan dia di wad kanak-kanak. Semua pesakit di wad tersebut berasa tidak senang dengan Ratna kerana kadangkala Ratna mengganggu mereka.
"Ubat apa pulak ni?" tanya Ratna pada misi.
"Ni ubat tidur. Awak kan dah lama tak tidur. Jadi doktor bagi ubat ni untuk bantu awak tidur." Balas misi tersebut. Ratna hanya memandang ubat tersebut. Pada pelekat di bahagian belakang tertulis 'Clonazepam'. Ubat tersebut ialah ubat yang entah ke berapa kali ditukar. Seperti biasa, dia berpura-pura makan dengan meletakkan ubat di bawah lidah dan minum air yang diberi.
"Angkat lidah awak." Kata misi tersebut. Ratna tidak mahu melakukannya. Misi kemudiannya mengisi air dalam cawan. "Awak kena makan ubat betul-betul. Jangan nak tipu misi." Katanya. Ratna mengeluh dan telan ubat tersebut betul-betul. Dia mengangkat lidah untuk menunjukkan yang dia sudahpun telan ubat tersebut. Kemudian, barulah misi tersebut menolak troli ubat ke katil seterusnya.
Pada mulanya, Ratna fikir ubat itu tidak memberi apa-apa kesan. Namun, kemudiannya dia berasa sangat mengantuk. Sejam kemudian, dia terus tertidur dengan nyenyak.
Sejak itu, dia teruskan makan ubat yang diberikan. Dalam masa seminggu, kesan ubat jelas kelihatan. Ratna duduk diam seperti patung, melihat semua pesakit lain yang juga berada di wad yang sama. Ubat yang diberikan memberi kesan positif dan negatif pada dirinya. Ratna tidak lagi mengganggu pesakit lain atau staf hospital, namun ubat tersebut membuatkan dia seperti patung. Doktor psikiatri yang memegang kesnya bercadang untuk dia mendapatkan terapi kognitif perilaku dan terapi lain yang bersesuaian dengan keadaan Ratna.
"Baiklah, Ratna. Di depan awak ada gambar badan manusia. Ada kepala, tangan, badan dan kaki. Dan ini saya ada 12 batang krayon. Pertama sekali, kamu pilih empat warna yang mewakili emosi gembira, sedih, marah dan lain-lain." Balas Puan Maryam, kaunselor yang ditugaskan untuk menjalani terapi kognitif perilaku pada Ratna. Ratna mengambil warna merah jambu, biru, merah dan hitam dari kotak krayon.
"Baik, boleh kamu beritahu setiap warna tu mewakili apa? Nak buat atas kertas pun tak apa." Tanya Puan Maryam. Ratna melukis bulat menggunakan warna yang diambilnya seperti palet warna di tepi kertas. Kemudian, dia melabelkan keempat-empat warna itu mengikut emosi. Warna merah jambu mewakili emosi gembira, biru mewakili emosi sedih dan merah mewakili emosi marah. Apabila sampai pada warna hitam, dia hanya biarkan kosong.
"Kenapa Ratna biarkan hitam kosong? Warna hitam ni mewakili emosi apa?" Tanya Puan Maryam padanya.
"Kosong. Tiada perasaan. Saya tak tahu nak letak apa untuk warna tu." Balas Ratna. Puan Maryam hanya mengangguk. Dia tidak mengatakan apa yang Ratna buat itu salah kerana sepanjang terapi, dia memang perasan yang Ratna tidak memahami emosi manusia.
Terapi berjalan dengan lancar pada waktu itu. Puan Maryam meminta Ratna mewarnakan telinga, mata, mulut, tangan, kaki dan dada menggunakan warna yang dipilih. Pada mulut, mata, telinga, tangan dan kaki, Ratna mewarnakan dengan warna hitam. Untuk dada pula, ratna mewarnakan dengan warna merah. Puan Maryam bertanya padanya apa yang dia buat pada anggota badan tersebut apabila dia merasai emosi tersebut.
"Saya rasa kosong pada mata, telinga, mulut dan dada. Jadi saya tak buat apa-apa. Untuk dada, saya tak tahu nak terangkan macam mana. Saya cuma rasa yang saya lain dari yang lain, dan itu buatkan saya rasa terganggu." Jelas Ratna pada Puan Maryam.
Selepas mendengar penerangan Ratna, Puan Maryam membalas. "Baiklah, sekarang jom kita fikirkan apa yang kita boleh buat untuk hilangkan rasa kosong ni." Puan Maryam mengambil krayon warna merah jambu dan sambung. "Dengan gunakan apa kita belajar tentang emosi dua hari lepas, apa kata kamu buat benda yang kamu suka untuk tukarkan rasa kosong ni dengan suatu yang positif iaitu gembira." Puan Maryam kemudiannya mewarnakan beberapa anggota badan di atas kertas menggunakan warna merah jambu itu. "Kamu ada hobi tak? Aktiviti yang kamu suka?"
"Saya tak ada hobi." Balas Ratna. Puan Maryam mencubit dagunya sambil berfikir.
"Kalau macam tu, apa kata awak mulakan hobi baru? Macam membaca? Ratna suka buku tak?" Kata Puan Maryam. Ratna tidak membalas. Melihat Ratna terdiam, Puan Maryam menyambung. "Kita boleh cuba dengan membaca buku. Sebentar ya, saya ambil satu buku." Puan Ratna bangun dan pergi ke raknya. Dia membelek setiap buku yang ada di rak tersebut sehinggalah dia jumpa dengan buku novel remaja yang lama yang disimpannya. Tajuk buku tersebut ialah "Gadis Tanpa Latar".
"Nah, ini buku yang saya beli masa zaman remaja. Saya hadiahkan buku ni pada awak." Kata Puan Maryam sambil menghulurkan buku tersebut pada Ratna. Ratna mengambil buku tersebut tanpa mengucapkan apa-apa. Sesi terapi selesai dan Ratna dihantar semula ke wad.
★・・・・・・★
Suara seorang kanak-kanak lelaki kedengaran dari hujung bilik wad. Kanak-kanak tersebut dalam keadaan ketakutan setiap kali misi mendekatinya untuk mencuci luka. Ratna dan kanak-kanak lain hanya melihatnya dari katil masing-masing. Hal ini tiba-tiba mengingatkannya pada nasihat yang diberi Puan Maryam mengenai keinginan menyakiti makhluk lain. "Menyakiti makhluk lain seperti manusia dan binatang adalah salah. Selepas ni awak cuba elakkan diri dari menyakiti orang lain."
Entah dari mana, Ratna mendapat akal. Kalau dia tidak dapat lihat emosi orang lain, macam mana kalau dia sendiri yang menyakiti dirinya sendiri? Ianya tidak salah kan? Memandangkan dia bukannya menyakiti orang lain. Lagipun, dia tidak pernah buat sesuatu oada dirinya. Mungkin dia juga dapat rasa sedih bila sakit.
Sewaktu misi sedang fokus merawat budak yang meraung tadi, Ratna mendekati troli ubat dan mengambil sebuah picagari. Kemudian, dia berjalan ke ruang solat. Ruang solat itu berada berdekatan dengan pintu keluar masuk di bahagian depan wad. Di ruang solat itu, tiada orang kelihatan. Biliknya kecil sahaja dan mampu untuk memuatkan lima orang untuk solat. Ratna memandang picagari tersebut. Dia menarik picagari supaya angin masuk ke dalam dan memasukkannya pada jarum branula yang terlekat di tangan kanannya.
Belum sempat dia memicit, seorang wanita tua masuk ke ruang solat itu. Wanita itu sangat terkejut melihat Ratna sehingga dia melatak dengan kuat. Latahannya membuatkan misi datang ke ruang solat untuk melihat apa yang berlaku.
"RATNA!! JANGAN!!" Kata misi itu. Dia merampas picagari itu dari tangan Ratna. Ia menyebabkan jarum branula yang melekat di tangan Ratna tertarik sekali. Mukanya kelihatan takut melihat Ratna. Misi itu memegang bahu Ratna dengan agak kuat. "Berapa banyak udara awak picit?!" Tanya misi itu.
"Entah." Balas Ratna pendek sambil mengangkat bahu. Misi itu menarik tangan Ratna keluar dari ruang solat. Misi-misi lain melihat mereka berdua. Mereka bertanya apa yang terjadi tadi. Misi itu menerangkan kembali apa yang Ratna buat, dan misi-misi tersebut turut menjadi takut. Sejak itu, mereka memantau Ratna dengan kerap pada hari itu.
ns3.144.108.175da2