Ratna hanya duduk di tepi taman sekolah sambil melihat kanak-kanak lain bermain di tepi kolam ikan. Dia melihat kanak-kanak tersebut semuanya rancak bermain bersama mereka. Waktu ini, rancangan realiti TV baru dari Korea sedang popular di seluruh negara. Ramai pelajar meniru permainan dari rancangan tersebut dimana mereka perlu menarik tag nama yang berada di belakang ahli lain. Konsep ini menarik minat kanak-kanak sekolah rendah untuk bermain permainan itu. Ratna tahu tentang rancangan TV itu, tetapi dia tidak menontonnya kerana rancangan tersebut disiarkan pada pukul 2 pagi.
Suara gelak tawa kanak-kanak bergema di taman tersebut. Ratna hanya memandang mereka berkejaran sesama sendiri. Ada yang ketawa, ada juga yang ketakutan kerana tidak mahu tag namanya ditarik, dan ada juga yang bersorak. Mereka semua kelihatan gembira. Namun, Ratna tidak berasa gembira atau teruja melihat mereka main. Dia juga tiada keinginan untuk menyertai mereka. Bukan kerana dia tidak berkawan dengan mereka, tetapi Ratna dapat rasa yang dia lain dari budak lain.
Dia manusia biasa sama seperti kanak-kanak lain. Dia juga bagus dalam pelajaran. Dalam bersukan pula biasa-biasa sahaja. Tetapi ada yang buatkan dia lain daripada lain, dan ianya merupakan emosi.
Sejak kecil lagi, dia tidak pernah merasa apa-apa emosi seperti gembira dan sedih. Sepanjang hidupnya, dia cuma rasa kosong dan tidak lengkap. Dia tidak tahu bagaimana hendak berpura-pura seperti budak-budak lain. Dia juga tidak tahu bagaimana rasanya untuk mempunyai emosi. Semua ini kelihatan jelas pada dirinya apabila guru kelas dia sebelum ini pernah tanya dia jika dia mempunyai masalah. Soalan yang sama seperti soalan ibu bapanya sewaktu dia kecil. Orang anggap dia seperti ada masalah. Dia cuba fikir dengan mendalam apakah masalah dia. Apa yang membuatkan dia rasa kosong seperti ini? Sekarang dia pun sudah 12 tahun, dan dia masih tiada jawapan pada soalan tersebut. Untuk dia rasa sesuatu, dia menjadi pelajar bermasalah di sekolah. Dia sering mencari masalah seperti mengacau rakan sekelasnya, mencuri dan memukul mereka jika dia tidak dapat apa yang dia mahukan. Perkara ini menyebabkan seluruh pelajar darjah tersebut kenali dia sebagai pelajar nakal. Tetapi ada satu lagi benda ekstrem yang bukan semua orang tahu. Perkara yang tidak berperikemanusiaan.
Ratna menghabiskan bekal makanannya dan berjalan ke kelasnya. Dalam perjalanan, kelihatan ada seekor anak kucing sedang tidur di tepi bangunan. Kucina tersebut merupakan kucing kesayangan warga sekolah. Sejak ibunya tinggalkan anak kucing ini, kanak-kanak dan staf sekolah menjaga anak kucing ini dengan baik. Ianya sejenis kucing siam dengan ekor pendek. Ratna mencangkung di hadapan kucing itu dan melihatnya tidur dengan lena. Kemudian dia mendapat satu akal.
★・・・・・・★
"Kenapa Ratna buat macam tu dekat kucing?! Tak rasa sebersalah ke?" marah Puan Binar pada dirinya. Ratna tidak memandang muka ibu bapanya yang duduk dihadapannya.
"Ratna! Mak tengah bercakap dengan kamu. Tengok muka kami!" kata Puan Binar lagi, kali ini dengan suara yang lebih lantang.
"Mak ayah penat tahu tak nak naik turun sekolah Ratna setiap kali Ratna buat masalah. Muka kami malu tahu tak? Tak boleh ke kamu tak buat perangai macam ni? Ratna bukan budak kecil lagi dah, tahun depan nak masuk Tingkatan 1! Tak kesiankan kami ke? Apa lagi yang kami tak buat untuk Ratna? Apa Ratna nak, kami bagi. Ratna duduk bilik seorang je, tak kongsi dengan adik beradik macam orang lain. Kami dah penat, tak tahu nak ajar Ratna macam mana lagi!" marah Encik Aiman pada anaknya. Tiba-tiba Ratna membalas dengan perkara yang tidak masuk akal mereka.
"Ratna tak minta pun mak ayah jaga Ratna." Kata-kata Ratna ini membuatkan Encik Aiman berasa berang.
"APA RATNA CAKAP?!!" Encik Aiman bangun dari sofa. Tindakan ayahnya itu membuatkan Ratna terkejut. Dia cuba fikirkan bagaimana hendak hentikan perbualan ini. Tanpa berlengah, dia terus berlari ke dapur.
"Ratna! Kamu pergi mana? Datang sini!" Kata Encik Aiman dengan suara tegas dan lantang. Mereka berdua cuba untuk mengejar Ratna. Apabila Encik Aiman masuk saja ke dapur, Ratna menikam kaki ayahnya.
"Arrgh!" Encik Aiman mengerang kesakitan. Puan Binar terkejut dengan perbuatan drastik Ratna. Selama ini, Ratna sudah biasa menyakiti binatang, tetapi ini merupakan pertama kali dia menyakiti orang. Dan orang tersebut ialah bapanya sendiri. Tiba-tiba, jantung Ratna berdegup kencang. Dia tidak tahu apa yang dia rasa sekarang ini. Sedih? Kecewa? Takut? Dia tidak faham. Ini pertama kali dia dapat rasa sesuatu apabila menyakiti orang.
Puan Binar memapah suaminya ke kereta. Ratna cuma mengikuti mereka. Dia duduk di tempat duduk belakang manakala bapanya duduk di tempat duduk penumpang hadapan.
Sesudah sampai ke wad kecemasan, ayahnya dihantar ke zon kuning. Ratna duduk di kerusi di zon hijau manakala ibu bapanya di zon kuning. Sambil menunggu berita, Ratna memikirkan apa yang dia rasa di rumah sebentar tadi. Dia tidak faham emosi apa yang dia rasakan. Ratna berasa sangat keliru. Dia tidak tahu apa yang dia rasa sekarang ini. Adakah ianya sesuatu yang negatif atau positif? Emosi apa yang sesuai dengan perasaan ini? Selepas beberapa jam menunggu, Puan Binar dan seorang doktor perempuan datang kearahnya.
"Ratna, saya doktor Iman. Boleh doktor cakap dengan Ratna sekejap?" Kata doktor itu. Ratna tidak memberikan reaksi. Jelas kelihatan dia sangat keliru.
Doktor Iman mengajak Ratna ke sebuah ruang yang jauh dari keramaian orang. Dia bertanyakan pelbagai jenis soalan. Ratna cuba untuk menjawab semua soalan yang ditanya. Sambil itu, doktor Iman sedang mencatat sesuatu di atas kertas, merekod semua yang Ratna katakan. Selepas 45 minit sesi soal jawab, doktor itu tanya pada Puan Binar.
"Puan okey ke kalau kamia masukkan dia dalam wad kanak-kanak?" Tanya doktor Iman pada Puan Binar. Ratna berasa pelik. Kenapa dia pula yang kena masuk wad? Dia ada banyak persoalan, tetapi mulutnya berat untuk bertanya. Terlalu banyak benda yang dia tidak faham membuatkan otaknya seakan tepu.
ns18.117.252.33da2