Ratna masuk ke dalam kelasnya. Dia lihat ada beberapa pelajar yang memegang kertas manila bersama peta tiga dimensi Malaysia. Pada waktu ini, barulah dia teringat. Sepanjang projek ini berjalan, ahli kumpulannya langsun tidak memanggilnya untuk lakukan projek ini bersama-sama. Ratna berjalan ke arah Arjun, namun sebelum dia sempat berkata apa-apa, cikgu Linda masuk ke dalam kelas dan menyapa anak muridnya. Ratna kembali ke tempat duduknya.
Cikgu Linda meminta semua pelajar untuk berikan hasil projek kumpulan mereka. Arjun menyerahkan hasil projek kumpulannya. Dia tidak beritahu apa-apa pada cikgu Linda. Ratna hanya duduk terdiam. Sampai hati mereka tidak memberitahunya mengenai projek ini.
Tiba-tiba, guru kelasnya masuk ke dalam kelas bersama seorang pelajar berambut perang dan panjang. Guru kelasnya memberitahu sesuatu pada cikgu Linda sebelum membuat pengumuman. "Baiklah, pelajar semua. Ini rakan sekelas kamu yang baru. Boleh kamu memperkenalkan diri kamu?"
"Hai! Saya Kasih Elmas. Panggil saya Elmas sahaja." Kata pelajar tersebut. Guru kelas itu memberitahu Elmas untuk duduk di belakang sekali memandangkan itu sahaja meja kosong yang ada. Selepas itu, guru kelas mereka mengundurkan diri.
Selepas habis sesi pelajaran, beberapa pelajar perempuan mengerumuni Elmas.
"Cantiknya rambut awak. Awak warnakan rambut ke? Macam mana awak boleh terlepas?" Kata salah seorang daripada mereka.
"Eh, tak lah. Ni memang warna rambut sebenar saya. Masa saya belajar di luar negara pun mereka ingat saya warnakan rambut." Balas Elmas.
"Wah, awak pernah ke luar negara? Hebatnya! Mesti keluarga awak orang kaya." Balas mereka.
Elmas ketawa kecil. "Tak adalah kaya mana kalau di tukarkan duit pendapatan kami pada USD." Balasnya.
"Hei, saya macam pernah nampak awak. Awak ada buat live ke dekat mana-mana platform? Atau buat konten di media sosial?" Seorang pelajar lelaki menyampuk mereka.
"Ya. Saya ada buat video dekat YouTube masa saya dekat luar negara. Username saya love_elmas. Tapi sekarang ni saya tengah dalam hiatus." Balas Elmas. Kata-katanya membuatkan pelajar-pelajar itu makin berasa kagum. Ratna mendengar semua perbualan mereka, namun dia tidak memberi perhatian sangat pada perbualan mereka.
★・・・・・・★
Pada keesokan hari, seperti biasa Ratna duduk di pondok berdekatan pagar sekolah untuk berjumpa dengan Anas. Selepas beberapa minit menunggu, dia lihat sesuatu yang membuatkan dia membeku. Anas dan Elmas berjalan ke sekolah bersama-sama.
Pada waktu ini, hatinya membuak-buak dengan suatu rasa. Dadanya rasa sakit. Jantungnya berdegup kencang.
Ratna cuba untuk menegur Anas, namun mereka sedang asyik berborak. Anas tidak perasan kehadiran Ratna di pondok seperti biasa.
Apa hubungan Elmas dengan Anas? Kenapa mereka kelihatan rapat? Rasa ingin tahu membuatkan Ratna cuba untuk mencuri dengar perbualan mereka.
"Anas, awak belum bagitahu lagi kenapa awak tak balas surat saya tahun lepas." Kata Elmas.
"Awak dah tanya soalan tu banyak kali. Jawapan saya sama. Saya lupa." Balas Anas pendek.
"Tak! Saya tak puas hati! Mesti ada sesuatu yang membuatkan awak berhenti hantar surat. Nak kata awak pindah rumah, awak masih dekat rumah sama. Kalau tak, kita takkan berjalan ke sekolah macam ni." Kata Elmas dengan nada tidak puas hati. Dia berhenti di depan Anas dan mencekak pinggan sebelum sambung bercakap. "Nanti saya akan jumpa awak dekat tempat awak bertugas. Awak jangan lari dari saya pula! Saya nak bagi sesuatu pada awak."
"Nak bagi sesuatu? Apa tu?" Tanya Anas.
"Adalah! Ingat, jangan lari!" Kata Elmas dengan tegas. Hati Ratna membuak-buak. Macam tu saja Elmas layan Anas macam tu? Anas pun satu, dia tidak tegas dengan Elmas yang tua setahun darinya. Apa hubungan mereka berdua sebenarnya?
Perkara ini membuatkan Ratna tidak puas hati. Dia mahu tahu lebih lanjut. Dia perlu mengikut Elmas untuk tahu mengenai dia dan hubungan dia dengan Anas.
Selepas perhimpunan, semua pelajar naik ke kelas masing-masing. Ratna hanya mengikut Elmas dari belakang. Elmas berbual dengan Hani, pelajar yang duduk di sebelah Ratna di dalam kelas.
"Hei, Elmas. Saya nampak awak dengan pengawas Anas tu. Awak ada apa-apa dengan dia ke?" Kata Hani.
"Dia cuma kawan sepermainan saya je. Kami dah lama kenal sejak di tadika lagi." Balas Elmas dengan sedikit tergagap.
"Ooookeyyy..." Kata Hani dengan nada sinis.
Di kelas, Elmas bercakap pada dirinya sendiri. "Macam mana dengan bekal Anas?" Dia membelek sebuah bekas warna oren. "Okey, tak ada yang tertumpah keluar. Bagus. Baiklah, Elmas. Nanti bagi je bekal ni pada Anas."
Apa yang Elmas katakan sebentar tadi membuatkan Ratna rasa geram. Dia geram kerana Elmas seperti ada sesuatu untuk diberikan pada Anas manakala dia sendiri tidak pernah berikan apa-apa padanya. Kemudian, dia mendapat akal. Macam mana kalau dia pedajal bekal yang Elmas buat?
Pada hari itu, kelas Ratna diminta untuk ke makmal komputer. Ratna meminta izin cikgu untuk keluar ke tandas. Kemudian, dia ke makmal kimia yang masih kosong. Dia cuba cari sesuatu yang boleh digunakan untuk buat Anas sakit perut atau muntah. Selepas beberapa minit mencari, barulah dia menjumpainya.
Tanpa berlengah, dia terus ke kelas dengan bahan tersebut. Dia mencari bekal yang Elmas mahu berikan pada Anas. Bekal tersebut terletak di laci mejanya. Ratna terus keluarkan bekal tersebut dan menambah bahan kimia itu pada nasi dan kuahnya. Selepas itu, dia segera keluar dari kelas kerana ingin letakkan semula bahan kimia tersebut pada rak di makmal kimia tadi. 15 minit kemudian, barulah dia kembali ke makmal komputer semula.
Pada waktu rehat, Elmas bergegas ke tangga tempat Anas bertugas. Ratna mengekorinya dari belakang dengan berhati-hati. Sesudah sampainya di lokasi tersebut, Ratna menyorok di balik tiang.
"Nah, saya ada buat bekal. S... Saya terbuat makanan lebih, jadi awak boleh ambil lebihan makanan ni." Kata Elmas. Dia masih agak kasar dengan Anas.
"Wah, makanan percuma! Terima kasih. Macam tahu-tahu saja saya tak beli makanan dekat kantin hari ni." Kata Anas dengan gembira. Dia mengambil bekal tersebut dan membukanya. Anas membau makanan tersebut. Ia mempunyai bau yang pelik, namun Anas segera buang fikiran itu. Dia mengambil sudu yang disediakan dalam bekal itu dan memamahnya. Selepas beberapa suap, tiba-tiba perutnya memulas.
"Apa awak bagi saya ni? Saya rasa nak mun-" Sebelum sempat Anas habis bercakap, dia berlari ke tandas terdekat. Elmas terkejut dengan reaksi Anas. Teruk sangat ke masakan dia? Fikirnya.
Ratna tersenyum sinis apabila rancangannya berjaya.
ns18.219.224.246da2