Pada hari itu, Ratna nekad untuk memerhati Elmas. Mungkin dia ada rancangan lain untuk Anas, dan dia mahu sabotaj rancangannya.
"Buku apa yang awak baca sejak akhir-akhir ni? Saya ada nampak awak baca buku dekat tangga masa bertugas. Tak sangka pula awak suka membaca." Kata Elmas.
"Buku yang saya baca tu hadiah dari adik saya. Best juga bukunya. Awak nak baca ke?" Anas memberikan soalan semula pada Elmas.
"Eh, tak naklah. Awak kan tengah baca buku tu." Balas Elmas.
"Tak apa. Saya dah habis baca pun sebenarnya. Tapi saya suka baca banyak kali sampai bosan. Awak boleh je pinjam kalau nak baca." Kata Anas sambil menghulurkan buku tersebut pada Elmas.
"T-terima kasih. Petang nanti saya bagi." Kata Elmas. Mukanya merah padam. Dia mengambil buku tersebut dari tangan Anas. Ratna mendapat akal bagaimana untuk sabotaj Elmas.
Selepas mereka bertiga sampai ke sekolah, Ratna mengekori Elmas. Dia mahu cari masa yang sesuai untuk jalankan rancangannya.
Pada waktu rehat, Elmas ke kantin bersama buku tersebut. Dia sedang asyik membaca buku itu sejak pagi tadi, dan dia rancang untuk sambung baca pada waktu rehat. Selepas membeli air sirap, dia duduk di meja paling hujung. Dia meletakkan air di sebelah buku. Sambil makan, dia membaca buku tersebut. Dia berhati-hati untuk tidak tertumpahkan lauk atau air pada buku itu. Pada masa inilah Ratna menjalankan rancangannya.
Semasa Elmas mengambil airnya, Ratna berjalan laju dan sengaja melanggar badan Elmas.
"Ah!" Elmas terlepaskan air yang dipegangnya. Air tersebut tumpah pada buku. Isi buku basah terkena air sirap. "Alamak, macam mana ni? Mesti Anas marah." Kata Elmas pada dirinya sendiri. Ratna berpuas hati melihatnya.
Pada petang itu, Elmas berjumpa dengan Anas yang tunggu di pagar sekolah. "Jadi macam mana dengan buku tu? Best tak?" Kata Anas sambil tersenyum.
Elmas tertunduk sambil memegang buku tersebut. "Maaf, Anas. Saya..." Dia tidak dapat sambung berkata-kata sewaktu menghulurkan buku itu.
"Elmas... Macam mana boleh jadi macam ni?" Kata Anas dengan nada kecewa. Dia mengambil buku itu yang kini dalam keadaan basah dan berwarna merah jambu didalamnya.
"Maaf Anas. Saya akan ganti dengan yang baru." Kata Elmas. Anas hanya terdiam melihat keadaan buku itu sebelum membalas. "Buku ni istimewa bagi saya sebab ianya hadiah dari adik saya."
Anas mengeluh. Dia rasa kecewa sangat dengan keadaan buku itu. "Bye, Elmas." Anas terus berjalan pulang meninggalkan Elmas.
★・・・・・・★
"Awak ada masa lapang tak petang ni?" Tanya Elmas.
"Ya. Kenapa?" Anas bertanya semula.
"Kalau macam tu, awak kena teman saya pergi wayang!" Kata Elmas dengan nada seperti mengarah.
"Macam temujanji?" Tanya Anas lagi. Muka Elmas merah bila terdengar soalan itu.
"B-bukanlah! Saya patutnya pergi dengan kawan, tapi dia batalkan rancangan saat akhir. Jadi saya nak awak ganti tempat dia supaya tiket ni tak dibazirkan." Kata Elmas. Dia berasa malu apabila dengar perkataan temujanji itu.
"Oh, boleh je. Saya tak ada rancangan petang ni." Balas Anas.
"B-bagus!" Elmas tergagap. Dia cuba menyorok rasa malu dengan berkasar dengan kawannya itu. Temujanji dengan Anas? Bagusnya. Fikir Elmas.
Ratna yang mendengar perbualan mereka berasa geram. Patutnya saya yang keluar temujanji dengan Anas! Tak boleh jadi ni. Ratna cuba fikirkan idea untuk sabotaj rancangan mereka.
Di kelas, Elmas disapa oleh beberapa pelajar perempuan.
"Wah, Elmas. Awak ada apa-apa ke dengan pengawas Anas tu?" Tegur salah seorang pelajar perempuan.
"D-dia kawan lama saya. Tu saja!" Elmas tergagap. Pipinya merah kerana malu. Pelajar-pelajar perempuan itu hanya tersenyum sini sahaja. Mereka mahu menyakat dan dapat tahu dengan lebih lanjut tentang hubungan mereka berdua.
"Wah, jadi senanglah awak nak jadi kekasih dia. Ada ramai pelajar perempuan sukakan dia tahu. Senior pun ada yang sukakan dia. Almaklum lah dia kacak bergaya. Muka lelaki Melayu terakhir lah dikatakan." Kata salah seorang daripada mereka. Yang lain-lain hanya tergelak kecil. Elmas sudah terlalu malu disakat oleh rakan sekelasnya.
"Awak tahu tak tentang pokok cinta dekat sekolah ni? Ada satu pokok tekoma dekat sekolah ni. Kami panggil tu pokok cinta sebab pelajar suka luahkan perasaan di bawah pokok tu. Apa kata awak luahkan perasaan kat situ? Korang mesti rapat, kan? Jadi senanglah dia nak terima luahah awak." Usik mereka lagi. Elmas menutup mukanya dengan tangan kerana terlalu malu. Dia menyuruh mereka untuk berhenti mengusik dia dan suruh mereka duduk di tempat duduk mereka semula. Mereka hanya ketawa sahaja melihat reaksi Elmas.
Ratna merasakan seperti ada sesuatu membuak-buak dalam dirinya. Seperti ada sesuatu yang akan meletus. Dia tidak tahu perasaan apa yang dia rasai, tetapi ada satu benda yang pasti.
Elmas dan Anas perlu dipisahkan.
Pada waktu ini, dia mendapat akal.
Bagaimana kalau dia masukkan 'ubat tidur' yang doktor pernah berikan dan masukkan ke dalam makanan dia? Mesti dia akan tertidur dan terlepas temujanji itu. Kebetulan pula dia terbawa ubatnya ke sekolah. Doktor kata itu ubat tidur kan? Jadi mesti Elmas akan tertidur bila makan ubat tu.
Pada waktu rehat, Ratna membeli nasi goreng di kantin. Kemudian, dia menghancurkan pil-pil tersebut menjadi debu. Dia taburkan debu-debu itu ke dalam nasi goreng dan gaulkan sebati. Selepas itu, dia bungkus semula nasi goreng itu.
Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu sekolah sudah habis. Ratna cuba menghampiri Elmas yang berada di keramaian.
"Hai, Elmas. Saya ada nasi goreng yang saya tak boleh habiskan. Jadi saya nak bagi awak. Anggap ni macam hadiah. Maaf sebab saya tak pernah tegur awak selama ni." Kata Ratna. Elmas tersenyum padanya sebelum membalas. "Wah, terima kasih!"
"Baik awak habiskan sekarang sebab takut basi." Kata Ratna lagi. Elmas berasa berat untuk menolak. Tak apalah, makan sekejap je. Lepas tu keluar jumpa Anas. Fikirnya. Elmas mengambil nasi bungkus itu dan ke tempat terdekat untuk makan.
Selepas habis makan, kepalanya berasa berat.
"Mengantuknya..." Katanya. Elmas menggosok matanya. Tidur sekejaplah. Dia tak mahu tertidur masa tonton wayang dengan Anas nanti.
Melihat Elmas tertidur di meja taman membuatkan Ratna berasa puas. Dia kemudian ke pondok sekolah untuk melihat Anas.
Di sana, Anas menunggu Elmas dengan lama. 45 minit berlalu, dan Elmas masih tidak kelihatan. Anas berjalan ke hulu ke hilir. Dia sudah hilang sabar.
"Ish, mana dia ni? Sudahlah, saya balik sajalah." Katanya. Dia mengambil beg galasnya dan keluar dari pagar sekolah. Ratna gembira melihat rancangannya berjaya.
ns18.216.207.192da2