"CIKGU!"
Suara seorang kanak-kanak perempuan kedengaran dari bilik darjah. Seorang cikgu berjalan laju ke arah bilik tersebut. Dia dapat lihat yang seorang murid lelaki terduduk menangis di lantai. Mukanya merah kerana menangis terlalu kuat.
"Siapa yang buat ni?" Tanya cikgu tersebut dengan rasa risau.
"Ratna pukul kepala Zahid!" Kata anak murid itu. Cikgu tersebut memandang seorang anak murid perempuan berambut panjang sedang bermain bata lego. Dia langsung tidak hiraukan kekacauan yang berlaku.
"Ratna, kenapa awak pukul Zahid?" Tanya cikgu itu pada murid itu.
"Dia nak main ni." Katanya sambil mengangkat salah satu lego. Cikgu itu berasa bingung. Bukan pertama kali Ratna berkelakuan kasar dengan rakan sekelasnya. Cikgu tersebut sudah menasihatinya banyak kali, namun masih tiada perubahan.
"Ini bukan pertama kali awak buat hal, tahu tak? Sekarang, pergi minta maaf pada Zahid." Kata cikgu itu. Ratna memandang kanak-kanak lelaki itu buat seketika sebelum berkata, "Maaf." dan terus sambung main dengan permainannya. Cikgu itu mengeluh. Dia tidak tahu apa yang menyebabkan anak muridnya ini berkelakuan sebegini.
Pada waktu habis persekolahan, cikgu tersebut memandang Ratna dari jauh. Seorang wanita turun dari kereta untuk menjemputnya. Wanita itu merupakan ibu Ratna, Puan Binar. Tanpa berlengah, cikgu itu berjalan ke arah mereka.
"Puan ibu Ratna ke?" Tanya cikgu tersebut.
"Ya, saya." Balas Puan Binar.
"Saya cikgu Siti, cikgu kepada Ratna. Saya ada benda nak bincang tentang dia." balas cikgu itu. Hati ibu Ratna mula rasa tidak sedap hati.
"Ya, boleh." Balasnya. Mereka bertiga masuk ke dalam tadika dan duduk di salah satu bilik darjah.
"Saya nak cakap tentang Ratna. Dia selalu berkasar dengan rakan sekelas dia. Bila ditanya, dia cuma jawab sepatah je. Saya dah menasihatinya banyak kali, tapi macam tiada perubahan. Kalau puan okay, boleh saya tanya bagaimana kelakuan Ratna di rumah?" Kata cikgu itu. Ibu Ratna memandang anaknya yang tiada respon.
"Dia di rumah suka mendiamkan diri. Dia ni tiada adik beradik, dan kami pun tak merancang untuk ada anak baru. Nak kata saya dan suami berkasar dengan dia pun, tidak. Tetapi saya tak tak tahu pula Ratna berkasar dengan rakan sekelasnya." Kata Pun Binar sambil mengusap belakang anaknya itu.
"Puan cuba slow talk dengan Ratna di rumah nanti. Bukan apa, berkemungkinan anak puan ni istimewa. Saya bukanlah pakar, tapi kalau dapat detect sejak umur awal kan senang. Cuba puan jumpa pediatrik." Kat cikgu itu.
"Baiklah, saya akan buat. Terima kasih kerana beritahu hal ni pada saya." Balas Puan Binar. Dia bangun dan menarik tangan Ratna. Sebelum masuk ke dalam kereta, dia memberitahunya untuk mengucapkan terima kasih pada cikgunya itu sebelum masuk ke dalam kereta. Ratna mengucapkan terima kasih dengan nada perlahan dan terus masuk ke dalam kereta tanpa memandang cikgunya itu.
"Kenapa Ratna bergaduh dengan kawan-kawan?" Tanya Puan Binar. Ratna cuma mendiamkan diri.
"Ratna tak boleh diam macam ni. Mak mana tahu apa masalah Ratna kalau Ratna diam macam ni. Ratna kena bercakap." Katanya lagi.
"Mereka yang cari gaduh dulu. Ratna nak main brick je." Balas Ratna.
"Nak main pun takkan sampai bergaduh? Mak ayah tak pernah ajar Ratna bergaduh dengan orang. Mak ayah hantar Ratna ke tadika untuk belajar. Ratna ada masalah ke? Ada benda yang mengganggu fikiran Ratna ke?" Tanya Puan Binar lagi.
"Tak ada." Balas Ratna pendek.
"Ratna jangan tipu mak." katanya tegas. Waktu ini, Ratna mula rasa terganggu dengan ibunya yang memaksa dia bercakap.
"Saya kata tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah." Kali ni suara Ratna sedikit kuat, seakan dia marah ibunya semula.
"Ratna jangan nak naikkan suara dengan mak pula! Dah, balik nanti Ratna terus masuk ke dalam bilik. Jangan keluar main. Malam nanti mak ayah nak bincang tentang perangai Ratna ni." Katanya dengan nada tegas. Ratna berasa rimas, namun tidak menjawab apa-apa.
Di rumah, Ratna terus masuk ke dalam biliknya. Sewaktu dia membersihkan diri, Puan Binar menelefon suaminya, Encik Aiman.
"Bang, tengah sibuk ke?" Katanya.
"Tak la. Kenapa?" Balas Encik Aiman.
"Ni, cikgu Ratna ada bagitahu saya tentang Ratna. Dia asyik bergaduh dengan rakan sekelas dia sampaikan cikgu tanya kalau kita ada masalah keluarga ataupun tak. Nanti abang balik boleh tak abang tanya Ratna?" Katanya. Encik Aiman mengiyakan sahaja.
★・・・・・・★
Pada malam itu, mereka sekeluarga makan dengan senyap sehinggalah Encik Aiman menegurnya.
"Mak bagitahu yang Ratna bergaduh dengan kawan dekat tadika. Kenapa?" Tanya dia.
"Sebab Ratna nak main brick." Kata Ratna dengan nada mendatar.
"Takkan nak main brick sampai bergaduh dengan kawan? Ratna ada masalah ke?" Tanya Encik Aiman lagi. Kali ni hati Ratna berasa jengkel dengan soalan ayahnya itu. Sepanjang perbualan ini, Ratna tidak memandang muka ibu bapanya.
"Ratna! Ayah tengah cakap dengan kamu ni. Pandang muka kami." Kata Puan Binar dengan tegas. Suara ibunya membuatkan Ratna sedikit terkejut. Dia memandang muka ibu bapanya dengan renungan kosong. Dia seperti tiada reaksi terhadap ibu bapanya. Hal ini menyebabkan ibu bapanya berasa pelik terhadapnya. Apa kena dengan anak aku ni?
Ratna menghabiskan makanannya dan terus ke biliknya, meninggalkan ibu bapanya yang masih melihatnya.
"Bang, apa kena dengan anak kita ni?" Tanya Puan Binar.
"Abang pun tak tahu. Apa yang cikgu tadika cakap tentang Ratna?"
"Katanya, berkemungkinan Ratna ni budak istimewa dan kena jumpa doktor untuk mengesahkannya."
"Nak buat apa jumpa doktor? Dia bukannya sakit pun. Macam mana kalau doktor suruh jumpa doktor sakit mental? Malu tahu tak." Balas Encik Aiman dengan tegas. Dia tidak mahu keluarganya tahu kalau Ratna merupakan budak istimewa. Nanti mesti mereka akan salahkan dirinya kerana tidak mengajar dengan betul atau tidak menjaga pantang larang ketika isteri mengandung. Mulut ahli keluarganya agak tajam. Si ibu hanya mengeluh dan sambung habiskan makanannya.
ns3.23.102.192da2