Setelah berhempas pulas membersih dan menyusun semula barang, hari yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba pembukaan semula kedai Kaknia. Walaupun tak dihebohkan, hanya update ringkas di Instagram dan story Kaknia, pelanggan mula datang satu demi satu. Ada yang dulu pelanggan setia, ada juga wajah baru yang tertarik dengan hiasan cozy dan menu yang nampak menyegarkan.
Aman berpakaian kemas, apron baru tersarung rapi. Kedai kelihatan bersih dan segar, dengan bau buah mangga dan kelapa yang menyambut setiap pelanggan. Kaknia pula, tampil manis seperti biasa, tidak hanya sebagai bos tetapi seperti sahabat yang sentiasa berada di sisi.
“Awak okey? Nervous ke?” tanya Kaknia sambil meletakkan telefon bimbitnya di kaunter.
“Sikit-sikit. Tapi dengan Kaknia sini rasa tenang je,” balas Aman sambil senyum kecil.
Hari itu, Kaknia menemani Aman dari pagi sampai ke petang. Dia membantu melayan pelanggan, membancuh air, mengemas kaunter, dan sesekali berbual dengan pelanggan tetap yang mengenalinya.
Tepat jam 12 tengah hari, seperti dijanjikan, Kaknia keluar sebentar.
“Saya keluar kejap ya. Nak bungkuskan makan dan ambil anak balik sekolah. Nanti saya datang semula,” katanya sambil mencapai kunci kereta.
“Okey, hati-hati ya Kaknia,” balas Aman sambil melambaikan tangan.
Selepas waktu Zohor, sekitar jam 3 petang, Kaknia kembali kali ini dengan bekas makanan dan minuman. Dia hulur pada Aman.
“Ha, makan cepat. Jangan nanti kau bancuh air sambil perut lapar, rasa lain nanti,” usiknya sambil letak nasi bungkus di atas meja kecil.
Mereka makan bersama di belakang kiosk, terselit ketenangan dalam kepenatan. Sembang mereka kadang santai, kadang penuh gurauan.
“Aman, awak tau tak… saya rindu suasana macam ni. Dulu ramai orang, tapi saya rasa kosong. Sekarang, walau baru nak hidup balik… saya rasa macam ada semangat balik,” luah Kaknia perlahan.
“Saya pun rasa benda yang sama, Kaknia,” balas Aman sambil renung wajahnya.
Dari jam 3 hingga ke jam 6 petang, Kaknia terus berada di sisi Aman. Membantu layan pelanggan waktu puncak, menyusun semula stok minuman, dan pastikan semua rapi sebelum tutup. Bila sunyi sekejap, mereka duduk berbual, mengenang kisah lama dari Amin, Ana, Faris, dan semua yang pernah bersama-sama membina kisah di kedai itu.
Walaupun hanya tiga jam terakhir, kehadiran Kaknia memberikan rasa tenang yang sukar dijelaskan. Dan buat Aman, hari itu terasa seperti satu permulaan yang bukan sahaja untuk bisnes… tetapi untuk sesuatu yang lebih besar yang dia sendiri belum berani tafsirkan.
Satu petang yang tenang, selepas waktu puncak pelanggan mulai surut, Kaknia dan Aman duduk di bangku kayu kecil di sisi kiosk. Udara petang nyaman, langit kekuningan. Hanya bunyi kipas berputar perlahan dan deru trafik jauh di jalan utama menemani mereka.
Aman diam lama, menatap lantai simen seolah-olah mencari kata yang terkubur. Kaknia perasan perubahan raut wajahnya. Lembut, dia bertanya:
“Aman… awak ada girlfriend? share la sikit" kata Kaknia membuka bicara
Aman angkat wajah, senyum sedikit. Tapi senyum itu kosong.
“Takde Kaknia. baru broken and rasa tak percaya dah and malas nak bercinta. cukup kawan² saje" kata Aman
Kaknia tidak membalas, hanya angguk perlahan memberi ruang.
“Saya pernah cinta orang. Terlalu dalam. Tapi dia tinggalkan saya. Waktu tu saya fikir, mungkin salah saya. Tapi sebenarnya... saya sendiri pun waktu tu tak kenal siapa saya. Sejak tu saya jadi tawar. Tak percaya sesiapa. Rasa macam hidup ni kosong je.”
Dia berhenti sekejap, tarik nafas panjang.
“Keluarga saya pun tak stabil. Mak ayah saya beberapa kali hampir bercerai, tapi tak cerai-cerai sampai sekarang. Rumah macam medan perang. Bila saya fikir tentang hidup, rasa macam... nak bangun pun malas. Saya kerja kuat, tapi hati saya mati. Saya senyum, tapi dalam ni gelap, Kaknia...” katanya sambil tangan menepuk dadanya perlahan.
Kaknia memandangnya lama, tidak mencelah. Tapi tangannya menyentuh lembut bahu Aman.
“Aman... awak tahu tak, ramai orang senyum tapi luka dalam. Cuma bukan semua berani cakap. Saya kagum dengan awak sebab berani buka cerita ni. Kadang, kita tak boleh ubah apa yang jadi. Tapi kita boleh pilih... nak mati dengan luka tu, atau hidup dengan parutnya.”
Aman tunduk, mata mula berkaca.
“Saya tak tahu arah tuju saya sekarang, Kaknia. Tapi bila saya kerja sini, dengan Kaknia... rasa tenang sikit. Macam... saya boleh mula semula.”
“Dan awak memang dah mula, Aman. Awak rajin, jujur, dan ikhlas. Itu lebih penting dari apa yang orang pernah buat pada awak. Saya tak janji hidup awak terus cerah lepas ni... tapi saya janji, saya akan dengar bila awak perlu. Saya akan ada.”
Aman senyum kali ini benar-benar ikhlas. Dalam diam, dia sedar… dalam kegelapan yang dia rasa selama ini, Kaknia adalah cahaya pertama yang menyapa.
ns216.73.216.82da2