"Dia tak menunjukkan perubahan pada ubatan." Kata doktor Hafiz.
"Berdasarkan nota dari kaunselor, dia beri kerjasama sewaktu terapi. Namun, dia masih tidak menunjukkan apa-apa perubahan positif. Dan semalam dia hampir-hampir mencederakan diri sendiri tanpa sebab." Balas doktor Farah.
"Kalau kita beri dia terapi Elektrokonvulsif, okey ke?" Doktor Hafiz memberikan cadangan. Doktor Mawaddah, doktor pakar psikiatri di hospital itu sedang berfikir selepas mendengar kata-kata doktor itu.
Sementara itu, Ratna masih di wad sedang membaca buku yang diberikan oleh Puan Maryam beberapa hari lepas. Dia dikawal rapi oleh misi-misi yang berada di wad tersebut supaya Ratna tidak menyakiti dirinya lagi. Ratna melihat kiri dan kanan, kali ini hanya dia seorang sahaja di dalam wad. Ia membuatkan dia berasa bosan. Tetapi kalau ada budak-budak pun, dia bukannya bercakap dengan mereka.
Di hospital itu, wad psikiatri tidak dibuka lagi. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa meletakkan pesakit psikiatri di wad biasa. Seperti kes Ratna, dia duduk di wad kanak-kanak. Kalau boleh, doktor tidak mahu meletakkan pesakit di wad isolasi kerana mereka mahu pesakit berinteraksi dengan pesakit lain. Kekurangan interaksi bersama pesakit membuatkan kesihatan mental mereka menjadi lebih teruk.
Ratna berjalan ke kiri dan ke kanan. Dia melihat misi-misi bekerja di meja mereka. Dia juga melihat di balik tingkap wad tersebut. Selalunya, jika ada pesakit lain di sini, dia akan berjalan ke katil mereka dan hanya memandang mereka dengan renungan kosong. Entah bagaimana, melihat kanak-kanak lain yang sedang sakit membuatkan dia berasa puas. Sebelum ini, dia sudah terbiasa melihat makhluk hidup merana. Sudah beberapa kali dia mencederakan binatang. Ia membuatkan dia berasa cukup, memandangkan dia tidak faham atau mengalami emosi yang sama.
Pada keesokan harinya, Ratna berjumpa dengan doktor Hafiz dan doktor Zara.
"Ratna, kami dah berbincang dengan ibu bapa awak dan mereka setuju untuk awak dapat terapi Elektrokonvulsif. Awak pernah dengar ECT?" Tanya doktor Farah. Ratna hanya menggelengkan kepala. Doktor Farah bersambung. "ECT ni kami akan alirkan sejumlah elektrik yang kecil pada kepala awak. Ia tak sakit pun sebab masa ni awak akan diberikan ubat bius. Masa ni, awak akan tertidur."
Ratna mendengar semua ini tanpa menunjukkan reaksi. Sungguhpun begitu, jantungnya berdegup kencang. Ratna mungkin kelihatan tenang semasa ini, namun dia berasa seperti tidak dapat tenang apabila dengar apa yang doktor katakan. Maksudnya dia akan diberikan renjatan elektrik ke? Macam dalam cerita-cerita hantu yang pernah dia tonton? Macam mana kalau dia mati?
Doktor Zara menerangkan dengan bahasa mudah difahami mengenai terapi Elektrokonvulsif, namun Ratna tidak menghiraukannya. Perkara ini mengganggu fikiran Ratna hinggalah hari dia menerima terapi tersebut. Sepanjang perjalanan misi menghantarnya dengan kerusi roda, dia hanya tertunduk diam. Dia tidak tahu apa yang dia akan rasakan nanti. Dia juga tidak tahu jika dia sekarang sedang teruja atau takut. Sesudah sampai di wad 6, dia diminta untuk tunggu sebentar hingga doktor Farah dan doktor Hafiz sampai. Beberapa minit kemudian, mereka tiba.
Doktor Farah menenangkan Ratna walaupun dia kelihatan seakan tenang. "Ratna jangan risau ya, nanti kami bagi ubat bius." Pada waktu itu, Ratna dapat merasakan sesuatu cecair dimasukkan ke dalam tangannya. Ratna berasa sangat tidak selesa dengan semua wayar yang disambungkan pada dirinya, namun dia kemudiannya dia tertidur lena. Apa yang terjadi kemudiannya tidak diketahuinya.
★・・・・・・★
Seminggu berlalu, Ratna sudahpun menjalani tiga kali terapi Elektrokonvulsif. Ratna kelihatan lebih segar dari sebelum ini. Selepas belajar lebih lagi mengenai perasaan dan emosi daripada Puan Maryam, dia lebih memahami perasaan manusia. Dia juga kelihatan seperti manusia. Sebelum ini, mukanya kelihatan kosong tanpa ekspresi. Namun, selepas belajar mengenai emosi, dia cuba untuk menzahirkan perasaan yang dia rasa sesuai dengan situasi.
Sewaktu Ratna sedang asyik membaca buku 'Gadis Tanpa Latar', seorang pesakit lelaki masuk ke dalam wad. Dia memeluk erat barangannya dan pergi ke katil sebelah Ratna. Ratna hanya memandang budak lelaki itu. Lelaki tersebut menoleh pandangan padanya. Dia senyum sedikit sebelum meletakkan barangnya di meja dan baring membelakanginya. Ratna kembali membaca bukunya.
Pada waktu makan petang, barulah budak lelaki itu menegurnya.
"Awak dah berapa hari dalam wad ni?" Tanya lelaki itu.
"Entahlah. Saya tak kira pula." Balas Ratna sambil mengangkat bahu. "Awak masuk ke sini sebab kenapa?" Giliran Ratna pula bertanya.
Lelaki itu mendiamkan diri seketika. Selepas menjamah sedikit roti, dia membalas. "Saya lakukan perkara yang teruk. Sangat teruk. Jadi saya terpaksa duduk dalam ni."
Kata-kata lelaki itu membuatkan Ratna teringatkan apa yang dia telah lakukan yang membuatkan dia juga dipaksa masuk ke dalam wad. Mungkin keadaan lelaki ini pun sama. Mungkin dia juga mencederakan ahli keluarganya. Fikir Ratna. Entah mengapa, hati Ratna berdegup kencang. Dia masih lagi tidak memahami perasaan apa yang dia rasakan itu. Adakah ianya gembira, kerana dia jumpa orang yang sekasut dengannya? Atau sedih? Atau...
"Saya juga buat sesuatu yang tak baik. Saya berada dalam wad ni sebab kes tersebut." Balas Ratna. Lelaki itu kelihatan gembira kerana mempunyai rakan sekasut. "Anas." Katanya. "Nama saya Anas."
"Saya Ratna." Balas Ratna.
Tanpa mereka ketahui, mereka banyak menghabiskan masa bersama-sama. Ratna menceritakan semula cerita dari buku 'Gadis Tanpa Latar' pada Anas. Anas pula bercerita mengenai permainan video kegemarannya. Selain itu, mereka juga bermain bersama seperti 'wan tu som' dan 'I spy'. Misi yang melihat mereka sedang bergelak ketawa menulis laporan mengenai progres mereka berdua.
Namun, ada perasaan yang Ratna rasakan. Setiap kali bersama dengan Anas, dia berasa senang. Dia merupakan kawan pertamanya. Mungkin rasa yang dia rasai ialah rasa gembira yang melambung. Ya, dia pasti dia sekarang sedang berasa gembira. Dia tidak mahu kehilangan Anas.
"Awak ada adik? Berapa umur adik awak?" Tanya Ratna pada Anas.
"Nama adik saya Zara Widuri. Umur dia 9 tahun." Balas Anas.
"Boleh saya tahu kenapa keluarga awak tak melawat awak? Budak-budak lain semuanya ada ibu bapa teman atau melawat." Tanya Ratna lagi.
Anas terdiam seketika. Dia memikirkan jawapan yang sesuai. "Mak saya dah tiada. Dan ayah saya... Dia kena tangkap polis." Balasnya.
Raut wajah Ratna bertukar sedih supaya kena dengan situasi. "Maafkan saya. Saya tak tahu." Balas Ratna.
"Tak apa. Sekarang ni saya akan hidup berdua dengan adik dengan bantuan keluarga belah mak." Kata Anas. Dia memberikan senyuman pahit.
ns3.133.117.5da2