"Abang Razak? Bila abang pulang?" Tanti terkejut bukan kepalang. Dia tidak menyangka Razak sudah pulang dan sedang bertenggek di birai katil dengan wajah yang sukar ditafsirkan. Lebih memalukan, dia baru sahaja keluar dari bilik mandi tanpa seurat benang.
"Tanti, duduk sini sekejap," arah Razak, nada suaranya tegas dan berdesir.
Tanti menelan liur. Tubuhnya tiba-tiba menggigil meskipun udara di dalam bilik tidur Zarina itu nyaman. Teragak-agak, dia melabuhkan punggung di sisi suaminya.
"Ada apa ya, bang?" soalnya, cuba menyembunyikan kegugupan.
Razak menjeling ke arah sepasang baju yang terhampar di atas katil. Blouse kotak-kotak dan jeans biru tua itu jelas bukan miliknya. "Tanti nak pergi mana ni? Blouse Zarina kan ni?!"
"Oh! Saya... Saya mungkin berjumpa kawan nanti. Belum... belum confirm lagi," jawab Tanti tergagap.
"Nak keluar lagi? Semalam kan dah keluar?" Razak meninggikan suaranya.
"Semalam Tanti keluar sekejap je..."
"Sekejap Tanti cakap?! Abang balik Tanti masih belum pulang? Tak tahu nak duduk rumah, masak, kemas rumah? Bersihkan apa yang patut?" Nada Razak semakin membentak.
"Kemas? Masak? Abang bukannya suka masakan saya. Selalu makan luar. Lagipun inikan rumah Kak Zarina. Suruhlah dia masak, suruhlah dia kemas," balas Tanti, nada suaranya juga mula meninggi.
"Kak Zarina kan bekerja. Tanti tak kerja, duduk rumah goyang kaki sahaja. Tak boleh tolong sikit ke?"
"Kerja ke keluar dating sama jantan?!"
"Apa kau cakap, Tanti?!" soal Razak lantang. Matanya menikam wajah Tanti dengan pandangan yang memburu. Tuduhan curang adalah perkara yang paling dibencinya.
Dengan pantas, Tanti memeluk lengan kanan Razak, sengaja menekan dadanya ke tangan suaminya. Dia cuba mencium pipi Razak, namun lelaki itu pantas mengelak.
"Abanggg. Kenapa marah-marah ni sayang? Sudah tak sayang saya ya?" Soal Tanti seraya mengusap paha Razak.
Namun, Razak tidak berminat untuk bermesra saat itu. Dia menarik tangannya dan bingkas bangun. Dia menyeluk buku nota kecil yang dijumpainya beberapa hari lalu dan menghulurkannya kepada Tanti.
Serta-merta mata Tanti terbeliak. Riak wajahnya berubah, sedikit panik.
"Buku ni Tanti yang punya, bukan?"
Soalan Razak disambut dengan gelengan kepala.
"Bu... bukan... bukan saya punya. Mana abang jumpa?"
"Dalam luggage bag Tanti dari Batam," jawab Razak sebelum membuka helaian pertama buku itu. "Ini bukan tulisan Tanti?"
Tanti tidak menjawab. Hanya menggeleng.
"Jangan bohong! Aku kenal tulisan kau!"
"Bukan, bang! Bukan tulisan saya, abang!"
Air mata mula berlinangan membasahi pipi. Sukar bagi Tanti untuk menyembunyikan ketakutan dan rasa bersalahnya.
"Penipu! Ni nenas muda lah, lada hitam lah, tumbuk... minum... Resipi apa ni Tanti?"
Tanti tidak henti-henti mengesat air matanya, otaknya ligat mencari helah.
"Resipi... resipi kuih tart, bang."
"Kau ingat aku bodoh! Resipi kuih tart otak kau! Ni untuk gugurkan anak dalam kandungan bukan?! Jadi anak kita tak ada heartbeat tu kerana kau yang bunuh, kan?"
Semakin deras air mata Tanti mengalir. Rasa bersalahnya semakin membuak-buak, namun dia masih enggan mengaku.
"Ya ampun! Bukan, bang! Bukan! Tak tergamak saya nak buat begitu kepada anak kita, bang!"
Razak menyelak beberapa halaman dalam buku nota kecil itu, kemudian menunjuknya sekali lagi kepada Tanti.
"Ni dua nombor telefon ni nombor siapa?"
"Ini nombor telefon kawan-kawan saya," jawab Tanti setelah meneliti kedua nombor itu seketika.
"Penipu! Kau ingat aku bodoh?! Aku dah Google nombor-nombor ni. Ni nombor abortion clinic kat Batam! Jadi kalau resipi kau ni tak mujarab, kau nak pakai duit aku untuk gugurkan anak?! Kurang ajar kau eh!"
Air mata Tanti semakin deras bercucuran. Dia bingkas bangun dan memeluk Razak sekuat hati. Razak hanya membiarkan, meskipun dalam hatinya sudah mula terasa jijik dengan tubuh bogel wanita itu.
"Maafkan saya, bang! Maafkan saya! Saya berjanji saya tak akan buat lagi. Jangan ceraikan saya, bang. Tolonglah jangan ceraikan saya!"
"Berubahlah, Tanti! Berubah! Jangan jadi pemalas! Tak pandai masak, pergi belajar dengan Kak Ina. Belajar kemas rumah macam mana Kak Ina kemas. Jangan jadi pengotor! Duduk rumah asyik nak mengangkang aje!"
Razak menarik tangan Tanti yang masih berpaut pada tubuhnya dan berjalan pantas keluar dari bilik itu. Tanti rebah ke atas lantai dan menangis semahu-mahunya.
Dalam kesedihan itu, perasaan marah mula meresap dalam jiwa. Semakin lama, semakin membuak. Di kampung, dia tidak suka dirinya dibandingkan dengan kakaknya. Tetapi di Malaysia, Razak sudah mula membandingkannya dengan Zarina.
Tangannya dikepal erat. Nafasnya turun naik dengan kencang. Dia nekad dan berjanji pada dirinya sendiri. Dia harus menghancurkan Zarina. Dendamnya kini beraja di hati.
113Please respect copyright.PENANArpEF4knHNF