
Hazim, Julai 2015
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan.
Sejak kali terakhir Fakhri pulang bercuti dan kami bertemu, aku makin hanyut. Tiada lagi semangat yang dulu dia tinggalkan dalam genggaman aku. Kerja masih kerja. Tapi semuanya hambar.
Restoran itu tak pernah sunyi. Tapi dalam diri aku, sunyi itu pekat. Bunyi kuali, suara pelanggan, arahan dari Firdaus - semua hanya bunyi latar yang tak membawa apa-apa makna.
Aku cuba kuat. Setiap kali aku rindu, aku buka WhatsApp. Baca semula mesej-mesej lama. Mesej yang aku pernah taip panjang-panjang tapi padam sebelum tekan 'send'. Voice note yang aku rakam tapi tak pernah dihantar. Gambar dia sedang tersenyum, masih aku simpan, tak sanggup padam.
Malam-malam aku duduk di penjuru bilik, lampu malap, telefon dalam tangan. Aku scroll, ulang-ulang, baca dan baca lagi. Kadang aku taip; 'Rindu.' Tapi aku padam. Taip lagi; 'Kalau kau cuti lagi, datanglah...' Padam lagi.
Aku takut. Aku takut kalau aku mesej, dia tak balas. Aku takut kalau dia balas, tapi hanya dengan ayat sopan yang mematikan harapan. Jadi aku diam. Tapi dalam diam itu, hati aku terbakar sendiri.
Satu hari, aku tak tahan. Aku mesej dia.
"Fakhri, kau sihat?"
Tanda dua biru. Tapi... tiada balasan.
Aku tunggu. Sehari. Dua hari. Masuk seminggu. Masih tiada jawapan.
Aku cuba lagi. Kali ni lebih panjang, lebih jujur, walaupun masih berlapik.
"Kalau kau sibuk, aku faham. Cuma aku nak tahu kau okay. Itu pun dah cukup."
Masih juga senyap.
Aku cuba hubungi melalui SMS. Kadang aku taip nama dia saja di ruangan mesej, kemudian delete balik. Kadang aku buka galeri, tengok gambar lama kami di dapur restoran. Aku dengar balik lagu yang kami biasa dengar lepas habis syif. Semua tu jadi hantu yang mengekori aku.
Perasaan aku mula menjerit dari dalam. Rasa rindu yang dulu aku tahan, kini membuak. Rasa kecewa, rasa tak diendahkan, rasa ditinggalkan, semuanya bersatu.
Dan malam itu... aku benar-benar kalah.
Hujan turun perlahan di luar tingkap bilik. Langit gelap, seolah-olah bersubahat dengan isi dada aku yang semakin tumpah. Aku duduk di tepi katil, telefon dalam tangan, dan jari yang menggigil.
Aku taip perlahan. Ayat demi ayat. Dengan setiap huruf, aku rasa dada aku dikoyak.
"Fakhri, aku tak tahu apa salah aku. Aku cuma rindu. Aku tak minta lebih. Aku tahu siapa aku. Aku tahu tempat aku. Aku tak pernah ganggu kau lebih dari apa yang wajar. Tapi bila kau senyap macam ni... aku rasa macam aku langsung tak penting. Macam aku cuma satu fasa yang kau nak lupakan."
"Aku bukan sesiapa. Aku tak ada hak ke atas hidup kau. Tapi aku manusia, Fakhri. Aku ada hati. Dan hati aku luka. Sakit. Sebab aku sayang kau... sebagai sahabat, sebagai adik... dan lebih dari itu. Tapi semua tu aku simpan sendiri. Aku jaga, aku hormat. Aku tak pernah minta apa-apa balasan pun. Aku cuma nak kau ingat... aku pernah ada. Dan aku masih di sini. Tapi kalau kehadiran aku menyakitkan, aku akan pergi."
Aku baca semula. Dan aku hantar.
Mesej itu aku hantar tengah malam. Lepas itu aku letak telefon, tutup data. Dan aku menangis. Menangis seperti budak kecil yang kehilangan ibunya di pasar malam. Menangis seperti orang yang baru sedar, dia tak pernah cukup untuk orang yang dia sayang.
Aku menangis sampai aku tertidur.
Dan esoknya, bila matahari muncul tanpa cahaya dalam jiwaku, aku tahu... aku dah sampai titik akhir.
Aku masuk kerja seperti biasa. Tapi langkah aku berat. Aku tengok apron, dan aku nampak dia. Aku lalu dapur, dan aku terbayang dia berdiri depan mesin basuh, senyum bodoh dengan rambut serabut. Aku tahu... aku tak boleh lagi di sini.
Seminggu selepas itu, aku serahkan notis berhenti. Bukan sebab aku benci tempat ini. Tapi sebab aku terlalu sayangkan kenangan, sampai ia mula menyakiti.
Dan kadang-kadang, untuk sembuh... kita kena tinggalkan tempat yang pernah kita panggil rumah.
_______________________________________
Hari terakhir aku di restoran.
Tak ada majlis. Tak ada kek atau hadiah. Hanya bunyi biasa, kuali berlaga, desiran minyak di grill, mesin ais, dan hiruk-pikuk suasana restoran. Tapi dalam dada aku, segalanya seperti nak berhenti.
Malam, selepas closing, aku kemas apron perlahan-lahan. Lipat sekali, dua kali. Letak atas meja prep. Tuala kecil aku tinggalkan di penjuru stesen, tempat biasa Fakhri duduk dulu.Waktu aku keluar dari stor belakang, aku nampak Sally berdiri di tepi pintu. Dia bersandar pada bingkai dinding, tangan silang di dada.
"Betul kau nak berhenti?"
Aku angguk. "Dah sampai masa."
Dia tak tanya kenapa. Tak minta penjelasan.
"Aku tahu... tempat ni ada banyak kenangan untuk kau. Tapi kalau kenangan tu mula menyakitkan... aku sangat faham jika kau nak cari tempat baru untuk sembuh."
Aku senyum, tak sampai ke mata.
"Terima kasih, Sally. Terima kasih sebab selalu nampak aku waktu orang lain tak perasan aku pun wujud."
Sally senyum. "Aku tak nampak semuanya, Hazim. Tapi cukup untuk tahu... kau bukan jenis yang pergi tanpa sebab."
Dia diam sekejap. Tapi kali ini, dia bersuara perlahan. Lebih jujur dari sebelumnya.
"Kadang aku rasa... kau tunggu seseorang yang kau sendiri tak pasti adakah dia akan kembali. Tapi aku tak tanya... sebab aku tahu, ada hal yang lebih selamat dibiarkan sunyi."
Aku telan liur. Pandang lantai sekejap.
"Aku pernah rapat dengan seseorang. Dia... penting. Lebih dari yang aku sendiri faham pada mulanya."
Sally angguk. "Aku tahu bukan mudah nak cerita. Tapi aku doakan, siapa pun dia, dan di mana pun dia... semoga dia tahu yang dia pernah disayangi."
Aku ketap bibir. Mata aku rasa panas.
"Kalau satu hari nanti... aku boleh ulang masa, aku cuma nak beritahu dia, yang aku tak pernah berhenti peduli. Cuma aku tak tahu macam mana nak cakap."
Dia hulur tangan. Aku genggam erat.
"Jaga diri," katanya perlahan.
Aku angguk. "Kalau satu hari nanti kau nampak aku tepi jalan atau di mana-mana. Tegur je. Aku tak sombong."
Dia ketawa kecil. "Tak janji."
Dan aku melangkah keluar. Satu langkah demi satu.
Dengan dada yang berat.
Dan kenangan yang tak mahu diam.
15Please respect copyright.PENANAai4Srjtuon