
Hazim, November 2014
Malam itu, restoran akhirnya senyap selepas gelora pelanggan yang tidak putus-putus sejak maghrib. Dapur bersepah. Bau mentega, minyak dan kicap pekat bercampur dalam udara yang masih hangat. Aku duduk di kerusi dekat peti ais, tuala kecil di tangan, baju lencun peluh. Tapi bukan itu yang buat aku rasa berat malam tu.
Fakhri masih lap meja luar. Sambil bersiul kecil, dia alihkan kerusi satu-satu ke tempat asal. Aku tenung dia lama. Tanpa niat. Tanpa rancang. Tapi mata aku tak mampu alih ke tempat lain. Dia bukan orang yang luar biasa pun, tapi setiap benda kecil yang dia buat terasa macam lebih daripada cukup. Entah kenapa. Entah sejak bila.
Dan waktu dia angkat muka, pandang aku sambil senyum, aku rasa dada aku mengetuk laju. Tapi bukannya bahagia.
Yang aku rasa... adalah takut.
Takut kalau aku mula sayang dia lebih dari apa yang aku patut.
Aku tunduk. Tangan aku kuat, cepat lap peluh di dahi. Tapi dalam hati, ribut tak reda. Aku cuba istighfar dalam diam. Tapi nama dia muncul juga – bukan sebagai rakan sekerja, bukan sebagai adik. Tapi sebagai seseorang yang aku mula tak mampu lepaskan.
Aku rasa bersalah. Teramat bersalah.
Sebab dia baik. Terlalu baik.
Dan aku mula rasa kasih aku ni... satu kesalahan yang dia tak pernah minta.
_______________________________________
Di rumah, aku baring atas tilam bujang aku. Lampu tak aku buka. Cuma kipas perlahan, dan bunyi jam berdetik yang kedengaran jelas.
Aku buka nota dalam telefon. Tulis sesuatu.
'Andai dia tahu rasa sebenar aku, mungkin dia tak akan pandang aku lagi. Mungkin dia akan undur. Dan aku takkan sanggup.'
Aku padam semula. Tutup skrin. Tapi jari aku gatal juga buka galeri. Gambar dia yang tak sengaja aku ambil waktu dia tengah ketawa dengan tangan masih pegang pinggan. Gambar paling random, tapi paling aku simpan macam rahsia negara.
Aku geleng kepala sendiri. Letak telefon di dada. Mata aku pejam. Tapi malam tu aku tahu, aku tengah berperang dengan sesuatu yang aku tak berani nak kalah... dan aku tak tahu macam mana nak menang.
_______________________________________
Esoknya aku cuba buat-buat sibuk. Aku kurang tegur dia. Aku elakkan dari berdiri terlalu dekat. Bila dia cakap, aku jawab sepatah. Tapi dia tetap senyum. Dia tetap hulur air masa aku haus. Tetap tanya, "Abang okay?" bila aku nampak penat.
Dan setiap kali dia buat macam tu, aku rasa macam nak jerit dalam hati;
'Tolong jangan baik sangat. Tolong jangan buat aku sayang lebih dari yang aku mampu.'
Tapi aku hanya diam. Senyum palsu. Pandang ke tempat lain.
_______________________________________
Satu hari, masa aku tengah mop lantai, dia datang hulurkan keropok lekor goreng yang dia beli kat luar.
"Abang belum makan, kan?"
Aku ambil. Tapi tak pandang dia.
"Terima kasih..."
"Tarapapa..." dia jawab pendek. Tapi suara dia tenang. Tak ada apa-apa pun berubah pada dia. Yang berubah... cuma aku.
_______________________________________
Malam tu aku buka surah Al-Insyirah. Ulang-ulang ayat yang sama.
'Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan...'
Tapi malam tu, ayat itu terasa seperti bukan milik aku. Sebab apa yang aku lalui bukan sekadar susah, tapi sesuatu yang aku tak mampu luah, tak mampu batal, tak mampu betulkan.
Dan akhirnya... aku bisik satu doa;
'Ya Allah... kalau rasa ini salah, Kau ampunkan aku. Tapi kalau ini rindu, tolong jangan seksakan aku dengan diam yang panjang.'
Aku tak pernah tahu, doa yang paling kuat... adalah doa yang tak disuarakan.
Itu malam pertama aku betul-betul sedar,
Aku sedang jatuh sayang.
Dan malam itu juga aku tahu, rasa yang aku rasa ini aku takkan pernah berani beritahu sesiapa pun.
ns216.73.216.8da2