
Fakhri, Januari 2015
Seremban.
Ada kenangan yang melekat pada setiap sudutnya, dari jalan berbatu di hadapan restoran, sampai ke langit senja yang aku biasa pandang dari balkoni rumah sewa. Tapi hari itu, Seremban mula berubah jadi sesuatu yang lain; satu tempat yang akan aku tinggalkan.
Aku tak suka perpisahan. Tapi aku juga tahu hidup ini tak akan tunggu kita duduk diam di tempat yang sama. Masa akan bergerak, dan kita perlu ikut, walau hati berat melawan.
Waktu aku terima berita aku layak sambung belajar ke IKBN Kemasik, hati aku campur-baur. Gembira - sebab ini peluang yang aku tunggu. Tapi ada resah yang tak mahu reda. Bukan kerana tempat tu jauh, tapi sebab aku tahu... aku akan tinggalkan semua yang pernah jadi 'rumah' buat aku. Termasuk dia... Abang Hazim.
Aku tak pernah cerita pada sesiapa, tapi Abang Hazim bukan sekadar rakan sekerja bagi aku. Dia lain. Ada sesuatu dalam dirinya yang tak pernah aku jumpa pada sesiapa sebelum ini. Ada ketenangan. Ada ruang selamat yang tak memaksa. Dan ada jiwa yang selalu buat aku rasa dihargai. Kami tak perlu cakap banyak pun, cukup duduk sama-sama, makan mi segera waktu malam, atau dengar lagu dari telefon lama dia.
Hari pertama aku nampak dia, aku ingat lagi. Seorang lelaki yang nampak penat tapi masih tersenyum waktu aku hulur apron sambil kata,
"Abang kerja malam jugak ke?"
Dia angguk. Lalu kami sama-sama mula kerja syif malam tanpa banyak soal. Tapi dari malam pertama itulah, kami mula jadi 'dua orang asing yang tidak asing.'
Aku masih ingat kali pertama dia tanya aku;
"Kau selalu balik jalan kaki, tak takut ke?"
Aku hanya ketawa kecil, "Takut tu biasa, tapi kalau lapar tak makan, lagi takut."
Sejak hari tu, dia selalu tunggu aku siap. Dan setiap kali syif berakhir, kami akan berjalan pulang bersama. Jarak dari restoran ke rumah sewa aku bukannya jauh sangat, tapi bila dia ada di sebelah, setiap langkah terasa lebih perlahan dan lebih bermakna. Seolah-olah jalan yang sama itu membawa pulang lebih daripada sekadar tubuh yang penat... tapi juga satu rasa yang diam-diam tumbuh di antara sunyi kami.
Ada satu malam, hujan turun tiba-tiba. Kami tak bawa payung. Kami berteduh bawah bumbung sempit depan kedai tutup. Rambut aku basah, baju dia lencun. Tapi dia senyum saja.
"Esok kita dua-dua demam. Sama-sama cuti."
Aku gelak. Tak tahu kenapa malam tu aku rasa sangat selesa, sangat hidup.
Hari demi hari, perasaan aku pada dia berubah. Bukan nafsu, tapi sayang. Dalam diam, dalam takut, dalam reda. Dan tanpa aku sedar, kehadiran dia jadi sebahagian dari hari-hari aku.
Bila aku beritahu aku akan berhenti, aku nampak perubahan pada dia. Dia diam lebih lama. Senyum pun makin jarang. Aku tahu, dia sedih. Tapi aku tak pernah tahu sedihnya sampai ke tahap itu.
Malam sebelum aku pergi, aku tidur di rumah dia. Kami borak panjang. Kami ulang semula semua cerita lama. Gelak kecil waktu ingatkan masa aku tumpahkan semangkuk tom yam ke lantai dapur. Atau masa dia tertidur berdiri depan mesin basuh restoran.
Waktu aku terlelap malam tu, aku rasa dia peluk aku. Bukan erat. Tapi cukup untuk buat aku rasa, aku masih ada ruang dalam dunia seseorang. Lengannya perlahan melingkari pinggangku. Nafasnya jatuh perlahan di tengkuk. Panas, tenang dan jujur. Aku tak bergerak. Aku tak tolak. Tapi aku biarkan. Bukan sebab aku suka. Tapi sebab aku faham, itu pelukan seseorang yang sedang belajar melepaskan.
Dan waktu pagi tu, sewaktu aku nak bersiap pulang ke rumah keluarga, dia cakap dengan suara perlahan dengan nada seakan tangisan yang mahu pecah;
"Kalau kau takde kat sini nanti, aku rasa aku pun tak boleh bertahan lama kat tempat ni..."
Aku tunduk, sebab aku rasa nak peluk dia kuat-kuat waktu tu. Nak cakap; 'Saya pun akan rindu..'
Tapi aku hanya senyum. Aku tak tahu nak balas dengan kata macam mana. Jadi aku peluk dia sebentar. Tenang. Dan aku bisikkan;
"Kuat la. Abang selalu nampak kuat.."
Dalam hati aku, aku janji... aku akan cari dia balik nanti. Aku cuma perlu keluar kejap, kejar impian aku, dan aku akan balik.
Tunggu saya, bang !
ns216.73.216.8da2