
Hazim, Disember 2014
Selepas hari Ahad itu, ada sesuatu yang tinggal dalam dada aku, macam gema yang tak mahu padam.
Bukan sebab wayang. Bukan sebab ayam goreng atau gurauan gila dia tentang karung guni. Tapi sebab aku rasa... hari itu terlalu sempurna untuk jadi biasa. Macam satu bingkai terakhir sebelum sesuatu berakhir.
Fakhri nampak bahagia. Senyuman dia lepas, mata dia bercahaya. Tapi dalam banyak detik yang aku ulang tayang dalam kepala, aku perasan satu - dia nak cakap sesuatu, tapi dia tahan.
Dan malam itu, waktu kami berpisah di simpang, ayat dia terngiang-ngiang sampai ke hari ini;
"Kalau satu hari nanti saya kena pergi jauh dari sini... abang akan ingat saya?"
Soalan itu... tak mungkin ditanya tanpa sebab.
_______________________________________
Beberapa hari berlalu. Kami masih kerja macam biasa. Tapi entah kenapa, dia makin senyap. Bukan senyap dingin, cuma... fikiran dia macam selalu di tempat lain. Bila aku tanya, dia jawab, "Tak ada apa-apa."
Dia masih tolong aku di dapur. Masih hulur roti bila aku tak sempat makan. Masih gurau bila aku buat muka serius. Tapi mata dia... macam menyimpan sesuatu.
Satu malam, aku nampak dia termenung lama di belakang restoran, tempat yang kami selalu duduk sama-sama, lepas habis syif. Tapi malam tu dia duduk seorang.
Aku hampir nak tegur, tapi dia bangun dulu dan masuk semula ke dapur.
Beberapa malam kemudian, hujan turun rintik-rintik. Aku sibuk susun stok air minuman di stor, bila aku dengar suara Firdaus dan Fakhri dari arah luar, aku menoleh.
Mereka duduk di bangku belakang. Tempat kami. Tempat aku selalu tunggu dia habis cuci pinggan. Tapi malam itu... bukan aku di situ.
Aku tak dengar dengan jelas, tapi suara Fakhri perlahan. Nada dia serius. Firdaus diam, sekali-sekala angguk. Aku tak tahu apa yang dibualkan, dan aku tak ada hak untuk tahu. Tapi ada satu rasa yang timbul waktu tu,
Rasa bahawa aku akan kehilangan sesuatu yang aku sendiri tak pernah miliki.
Sejak malam tu, aku jadi pelik sendiri. Makan tak kenyang. Tidur tak lena. Setiap kali dia bercakap, aku rasa nak tanya terus; 29Please respect copyright.PENANAsasvRhmZiK
'Kau okay ke?'29Please respect copyright.PENANA0rRshSMW1a
'Apa yang kau sembunyikan sebenarnya?' 29Please respect copyright.PENANAahlroPC6RY
Tapi lidah aku kelu. Sebab aku takut... kalau aku tanya, aku tak bersedia untuk jawapannya.
Dan lebih dari itu, aku takut dia akan jawab dengan sesuatu yang akan pecahkan aku. Sesuatu yang tak boleh aku sambung balik.
Kadang-kadang, aku tunggu waktu rehat habis, sengaja duduk lebih lama di meja. Harap dia datang duduk sebelah dan cerita, walau cuma hal kecil. Tapi beberapa hari kebelakangan ini, Fakhri banyak termenung. Bila aku tanya nak makan apa pun, dia balas sepatah dua, tak macam biasa. Pernah juga aku nampak dia termenung lama di depan sinki, pegang senduk tak gerak-gerak, mata pandang tempat kosong. Atau waktu rehat, dia main-main dengan straw dalam cawan tanpa minum pun.
Dan aku sedar, ada benda yang dia simpan.
Bukan sebab aku bijak teka. Tapi sebab... aku terlalu biasa pandang dia. Bila seseorang tu selalu ada dalam perhatian kau, kau akan tahu bila dia sedang simpan luka.
_______________________________________
Satu malam, waktu syif hampir tamat, Fakhri datang ke prep station aku. Semua orang dah mula balik. Bunyi dapur makin senyap. Yang tinggal cuma bunyi air titis dari paip dan derit rak aluminium yang kami susun semula.
Dia nampak resah. Tangan dia genggam sehelai nota kecil. Nafas dia dalam, tapi mata dia gelisah. Seperti seseorang yang cuba kumpul kekuatan untuk sesuatu yang berat.
"Ada apa?" aku tanya perlahan sambil lap tangan dengan tuala pinggang.
Dia pandang aku. Tak terus jawab.
"Jom duduk luar kejap?"
Aku angguk.
Kami keluar ikut pintu sisi, pintu kecil yang biasa staf guna kalau nak ambil angin malam. Kami berjalan senyap, lalu duduk di atas kerusi kayu belakang restoran. Tempat yang biasa kami duduk lepas kerja, kongsi lelah, dan kadang-kadang diam saja.
Malam itu sepi. Langit pekat. Ada bintang beberapa biji, tapi redup. Angin malam bawa bau minyak masak dan daun pisang dari tong belakang.
Fakhri diam lama. Tangan dia masih genggam kertas tadi, tapi dah renyuk sikit di tepi.
"Abang..."
Suara dia pecahkan sunyi.
Aku toleh perlahan.
"Saya nak cakap satu perkara"
Aku tengok mata dia. Malam gelap, tapi aku nampak, sinar mata dia tak seperti biasa. Tak ada usik manja. Tak ada gurauan kecil. Yang tinggal cuma jujur... dan takut.
"Saya dapat tawaran sambung belajar..."
Jantung aku seakan berhenti. Tapi seperti biasa, muka aku tenang. Aku cuma angguk perlahan, walaupun dalam kepala, macam ada ribut mula putar dari tengah.
Dia tunduk. Seolah takut kalau aku kecewa.
"Saya mungkin akan berhenti kerja dalam dua minggu ni."
Aku tunduk sikit, pura-pura ikat tali kasut, walaupun hakikatnya aku pakai selipar malam tu. Aku tak tahu nak letak muka aku kat mana. Takut kalau aku pandang dia lama-lama, dinding yang aku bina selama ni roboh terus depan dia.
"Alhamdulillah. Baguslah..." aku jawab perlahan. "Rezeki tu. Aku doakan."
Dia angguk perlahan. Kali ni, ada senyum halus di hujung bibirnya. Bukan senyum pura-pura. Tapi senyuman lega, macam beban besar akhirnya terlepas dari bahu.
Aku pun senyum, senyum yang paling nipis dalam hidup aku. Bukan sebab gembira. Tapi sebab aku tak mahu dia tahu, aku terlalu sedih untuk marah, dan terlalu sayang untuk menghalang.
Angin malam menyapa perlahan. Bau sabun pencuci masih melekat di hujung meja dapur yang belum dikemaskan sepenuhnya. Jauh di luar pagar belakang, kedengaran enjin lori sayup melintas.
Aku pandang dia perlahan, kemudian senyum nipis.
"Patutlah kau nampak lain kebelakangan ni... Macam ada yang kau simpan sorang-sorang."
Fakhri tunduk sedikit, lalu tergelak kecil.
"Saya takut nak bagitahu. Tak tahu abang akan kecewa ke, marah ke..."
Aku geleng perlahan. "Aku tak marah. Mana mungkin aku marah kau kejar impian."
Dia pandang aku. Mata dia redup, tapi kali ini tidak gelisah.
"Terima kasih sebab faham, abang..."
Aku tak balas. Hanya angguk sedikit, dan tunduk. Sebab kalau aku pandang dia lebih lama, aku takut air mata aku jatuh depan dia.
Dalam hati aku,
Ada satu guruh meletup tanpa petir.
Ada musim luruh datang tanpa angin.
Ada sebahagian diri aku yang mula patah... dan aku tak tahu macam mana nak betulkan
Dan malam tu... aku tidur dengan mata terbuka, dan hati yang tertutup.
Sebab aku tahu, tak lama lagi, tempat kosong itu akan jadi betul-betul kosong.
Tanpa dia.
Tanpa apa-apa.
ns216.73.216.8da2