
Hazim, Mac 2015
Malam-malam menjadi lebih sunyi sejak Fakhri tiada. Bukan kerana tiada bunyi, tapi kerana semua yang kedengaran tidak lagi bermakna.
Dapur restoran masih seperti biasa. Pesanan masih masuk, suara Firdaus masih menjerit minta itu dan ini. Orkestra dari peralatan memasak masih memainkan lagu yang sama. Tapi semua itu cuma latar yang kosong. Seperti lukisan mural yang cantik tapi tidak bernyawa. Di satu sudut, kerusi di penjuru dapur, tempat dia suka duduk sambil lap peluh masih tetap di situ. Tapi tiada lagi tuala kecil. Tiada suara nyanyi lagu rock 90-an. Yang ada cuma gema dalam hati aku… yang semakin dalam.
_______________________________________
Hari berganti, aku cuba jalani hidup dengan tenang, walau hakikatnya setiap hela nafas membawa nama yang sama. Fakhri. Dia tidak mati. Tapi kehilangan dia tetap menyakitkan, seolah-olah sebahagian jiwa aku tercabut bersama langkah perginya.
Ada waktu aku termenung lama di ruang dapur, hanya untuk mengingati caranya ketawa, caranya tegur aku kalau aku tersilap kira duit baki pelanggan. Ada waktu, aku lihat bayangnya pada siluet pekerja baru. Tapi sekelip mata, aku tahu, tiada siapa mampu mengganti tempat yang satu itu.
Aku cuba hubungi dia.
"Salam, Fakhri. Kau okay ke kat sana?"
Balasan datang, ringkas, seperti angin yang berlalu:
"Okay abang. Sibuk sikit minggu ni. Ada projek."
Aku genggam telefon erat-erat. Balasan itu cukup untuk lena malam itu. Tapi hari-hari selepasnya, sunyi semula. Dia semakin jarang membalas. Aku semakin kerap menanti. Rindu menjadi ritual diam yang menyeksa perlahan-lahan.
_______________________________________
Suatu hari, aku rasa semak dengan keadaan di meja stesen aku. Jadi aku ambil keputusan nak kemas semuanya waktu closing.
Aku mula dengan laci kecil di bawah meja. Ada beberapa pamflet promosi lama, tisu baru dan yang dah digunakan, pen lama yang dakwatnya dah beku, dan sebuah buku nota kecil, milik aku. Buku yang selama ini jadi peneman diam, tempat aku mencatat dan hafal segala SOP restoran sewaktu mula-mula bekerja dulu.
Aku tersenyum sendiri bila baca semula catatan-catatan lama. Selak demi selak, aku imbas kembali waktu-waktu sibuk yang pernah aku tulis.
Tapi tangan aku terhenti bila terselit sekeping kertas kecil di celah helaian buku. Kertas tu dah kekuningan di tepinya… tapi aku masih cam tulisan atasnya.
Tulisan tangan Fakhri.
"Roti sardin & karipap ni saya buat untuk semua, jangan gaduh. Abang Hazim dapat extra satu karipap sebab tolong bersihkan tempat bakar semalam. Jangan jeles :P"
Aku diam lama.
Aku baru teringat, nota ini aku simpan dan selitkan sendiri dalam buku ini lepas kami semua ambil bahagian makanan masing-masing. Konon aku nak balas dengan nota lain, tapi aku tak pernah sempat tulis pun. Terlupa terus.
Nota tu ringkas. Label makanan yang biasa dia tampal setiap kali dia sediakan lebih untuk kami semua. Tapi masa aku baca balik ayat tu, dada aku rasa sempit.
"Abang Hazim dapat extra satu karipap…"
Ada senyuman naik di bibir aku. Teringat betapa dia suka menulis benda-benda kecil macam tu. Jenaka yang orang lain tak pandang, tapi aku tunggu-tunggu.
Waktu tu, aku pegang nota tu lama. Jari aku lalui sempadan kertas yang dah lembut dimakan masa. Kepala aku tunduk, dan aku rasa… rindu yang aku tahan selama ni, mula datang dalam gelombang yang sunyi.
Satu nota kecil. Tapi cukup untuk patahkan separuh jiwa aku malam tu.
Aku lipat nota tu perlahan-lahan. Masukkan dalam dompet. Dan aku tahu, tempat itu akan jadi rumah kekal untuk sekeping kertas kecil yang satu masa dulu, cuma buat aku senyum…
…tapi kini, buat aku rasa hilang.
_______________________________________
Ada satu malam, waktu aku tengah kemas pinggan di bahagian belakang, Sally lalu sambil bawa dulang kosong. Dia berhenti sekejap, pandang aku.
"Oi, kau okay ke?"
Aku angkat bahu.
"Okay. Macam biasalah."
Dia tenung aku lama. Tapi tak tanya lebih.
"Baguslah. Cuma… kau tak gurau dah macam dulu."
Aku senyum sikit, tak sampai ke mata.
"Letih kot."
"Letih kerja, ke letih simpan benda?"
Aku toleh. Mata aku dan mata dia bertembung. Tapi tak lama. Aku alihkan pandangan.
"Tak semua benda boleh cerita, Sally."
Dia angguk perlahan. Lepas tu sambung jalan. Tapi sempat patah balik dua langkah.
"Kalau kau nak cerita… aku takkan tanya banyak. Tapi aku dengar."
Aku tak jawab. Cuma senyum nipis.
Dan waktu dia hilang dari pandangan, aku kembali pada kerja aku, tapi rasa macam ada sesuatu yang tertinggal di antara bunyi air paip dan pinggan yang berdenting.
_______________________________________
Ahad itu, Firdaus nak belanja semua staf makan-makan dan tengok wayang di JJ Seremban 2. Kata dia, dah lama kita tak rehat sama-sama luar restoran. Yang lain setuju saja. Lagipun, hari Ahad memang syif cuti. Waktu untuk jadi ‘manusia biasa’. Bukan tukang masak, bukan tukang angkat dulang mahupun tukang basuh pinggan.
Kami berkumpul depan restoran tengah hari itu, tujuh orang kesemuanya. Firdaus tiba dengan MPV lamanya, warna perak yang pintunya perlu diangkat sikit sebelum boleh tutup rapat. Yang lain ketawa kecil bila pintu belakang tersangkut sekejap, macam ritual biasa setiap kali keluar bersama.
Sally duduk depan, jadi DJ tak rasmi. Aku duduk di tengah, diapit Syidi dan Odah. Dua staf baru, Syuhada dan Naim duduk paling belakang. Suasana dalam kereta bising, penuh gurauan dan suara bercampur. Tapi aku diam lebih banyak dari biasa.
Fakhri tiada, dan walaupun tak disebut, kekosongan itu terasa. Macam satu ruang senyap yang wujud di antara tawa mereka. Masing-masing cuba isi kekosongan itu dengan lawak yang lebih kasar, atau gurauan yang lebih nyaring.
Sampai di JJ Seremban 2, suasananya seperti biasa. Ada famili berjalan perlahan-lahan, budak kecil menjerit minta belon, dan pelbagai ragam manusia bersilih ganti. Kami sepakat untuk beli tiket wayang dahulu sebelum teruskan agenda lain. Aroma karamel popcorn mula terhidu sebaik tiba di kawasan TGV.
Tiket sudah dibeli, tapi tayangan masih lambat, lebih kurang sejam lagi. Sementara menunggu, masing-masing bawa hal sendiri. Firdaus, Syidi dan Naim ke kedai kasut. Katanya, 'nak tengok sneakers, tak janji beli.' Odah dan Syuhada pula masuk ke butik tudung yang baru dibuka tak jauh dari situ. Aku dan Sally tinggal berdua, katanya nak cari minuman dulu.
Kami singgah di Coolbloq. Dua minuman berais dalam tangan, dan langkah kami perlahan menyusuri lorong depan kedai-kedai. Di satu sudut luar sebuah kedai hiasan rumah, ada bangku kayu kecil yang nampak kosong. Sally pandang aku, dan aku angguk perlahan. Kami duduk.
Suasana di sekeliling masih bising. Tapi di antara kami, hanya ada sejenis diam. Diam yang sedang menunggu seseorang memulakan.
“Dah lama tak lepak santai camni,” dia mulakan, hirup straw perlahan. “Dapur tu macam battlefield sekarang.”
Aku gelak kecil. “Sebab yang paling cepat ‘reload’ dah tak ada.”
Dia angguk perlahan. “Aku perasan... kau pun lain.”
Aku tak balas. Mata aku halakan ke kaki lima.
Sally sandar ke belakang bangku, lalu bersuara perlahan tapi cukup jelas.
“Kau rindu seseorang ke?”
Aku pandang dia. Dia tak tengok aku. Tapi soalan tu bukan soalan kosong.
“Aku…” aku hela nafas. “Pernah… rapat dengan seseorang.”
Dia angguk sekali. Tak paksa aku sambung.
“Tapi sekarang dia jauh. Dan aku rasa... aku pun makin hilang.”
Aku ketap bibir.
Sally pandang depan, senyum tipis.
“Aku tak tahu siapa orang tu, dan aku tak nak teka. Tapi aku tahu satu benda. Rindu yang tak boleh diluah... dia makan perlahan.”
Aku tunduk. Tanganku bermain dengan straw kosong dalam cup.
“Kau rasa berdosa sebab terlalu sayang, kan?” dia sambung perlahan.
Aku terdiam. Nafas aku rasa berat tiba-tiba.
“Tapi Hazim, kalau kasih tu tak buat orang lain jatuh... dan tak buat orang lain hilang arah... mungkin kasih tu cuma salah tempat, bukan salah rasa.”
Aku pandang dia. Mata dia masih tak minta jawapan.
Dia senyum lagi, kali ini sambil jentik straw ke dalam tong.
“Yang penting, kau jangan musnah dalam perasaan sendiri.”
Aku tak tahu nak balas apa. Tapi dalam hati, aku ucap terima kasih, untuk Sally yang tak tanya lebih, tapi tetap ada.
Petang itu, kami bangun dan teruskan langkah. Panjang lagi agenda hari ini. Tapi satu bahagian dalam aku terasa sedikit ringan. Seperti ada seseorang tolong pikul separuh dari beban yang selama ini aku sorang tanggung.
_______________________________________
Satu malam, aku tertidur di ruang tamu, masih dengan telefon dalam genggaman. Dalam tidur yang separuh lena, aku bermimpi. Fakhri duduk di sebelah aku, diam, wajahnya tenang.
"Fakhri?" aku bersuara perlahan dalam mimpi.15Please respect copyright.PENANAG0Cupuuk9X
Dia pandang aku dan tersenyum. Tangannya menyentuh bahu aku, dan katanya...
"Abang Hazim... jangan lupa doa untuk saya."
Aku terjaga dengan mata yang berat, dada yang sesak. Ada sisa basah di pipi. Aku tak pasti dari mimpi atau dari rasa yang telah lama aku simpan dalam diam.
Aku duduk seketika dalam gelap, hanya ditemani cahaya dari skrin telefon yang masih menyala. Aku pandang gambar dia, gambar lama yang aku pernah 'favourite' tapi tak pernah kongsi dengan sesiapa.
Muka dia redup, senyum separuh. Dia nampak gembira, tapi entah kenapa aku rasa jauh sangat dari senyuman tu. Seolah-olah... dia bahagia dalam dunia yang aku tak pernah di jemput masuk.
Aku pejam mata semula, tapi tak dapat lelap. Ada satu ruang dalam hati yang tiba-tiba terasa terlalu luas, terlalu sunyi. Dan di ruang itu, hanya ada nama dia yang tak pernah aku panggil.
_______________________________________
Hari-hari berikutnya, aku cuba hubungi Fakhri lagi.
"Aku rindu lepak sama kau. Bila kau cuti?"
Dia balas lambat.
"Belum tahu lagi. Tapi kalau balik nanti, saya bagitahu."
Mesej itu aku baca berkali-kali. Aku senyum, bukan senyum gembira, tapi senyum orang yang tahu harapannya sudah terlalu jauh untuk digenggam.
Dan malam itu, aku sebut nama dia dalam doa.15Please respect copyright.PENANAeCqaZampll
Perlahan, tapi penuh seluruh hati.
'Ya Allah... jagakan dia. Kalau aku tak mampu bahagiakan dia, Kau bahagiakanlah dia untuk aku.'
Telefon aku letak di sisi. Skrin gelap. Tapi wajah dia masih terpahat di mata aku.
Dalam dunia yang terus berjalan tanpa dia, Aku masih duduk di tempat yang sama.
Menunggu satu notifikasi... yang entah bila akan muncul lagi..
ns216.73.216.8da2