
Hazim, September 2014
39Please respect copyright.PENANAaiQWnZdIV2
Aku tak pernah bayangkan hidup aku akan berlabuh di Seremban.
Bukan kota besar, bukan juga desa kecil - hanya satu simpang yang aku temui selepas terlalu banyak jalan yang tertutup. Selesai diploma, hidup aku seperti ruang kosong yang luas. Tiada nama. Tiada hala. Cuma perut yang perlu diisi, dan bilik sewa yang perlu dibayar.
Rezeki datang dari panggilan telefon tak dikenali.
"Hai, ini Firdaus dari restoran Fika & Co. Awak hantar permohonan semalam, kan?"
Suara lelaki itu kasar tapi tak sombong. Nada dia seperti orang yang letih tapi masih mahu beri peluang.
"Kalau awak sanggup mula esok, datanglah. Bukan kerja hebat mana, tapi boleh buat hidup terus berjalan."
Dan begitulah, pagi itu aku pun naik bas ke Seremban, bawa satu beg sandang dan sedikit harapan. Bukan impian, cuma harapan - untuk bertahan, walau apa pun yang datang.
_______________________________________
Restoran tu terletak di baris kedai dua tingkat, sederet dengan dobi layan diri dan klinik gigi. Dari luar, ia nampak biasa. Tapi bila aku tolak pintu dapur belakang, bau dia... lain. Kombinasi mentega, daging panggang, dan kopi pekat. Dapur kecil tapi teratur. Dinding kelabu, lantai kasar, dan suara spatula berlaga kuali.
Aku perkenalkan diri pada Firdaus - lelaki kurus, kulit sawo matang, t-shirt hitam kusam dan rambut yang selalu disorokkan di bawah topi baseball. Dia sambut dengan salam pantas.
"Ok Hazim, hari ni kau observe dulu. Esok kita bagi kau mula di prep station. Potong sayur, timbang ayam, cuci barang. Kalau tahan seminggu, kita kira kau anak kandung sini."
Dia senyum senget, mata merah letih. Tapi aku tahu, dia bukan bos yang jahat. Cuma manusia yang dah banyak hari tak cukup tidur.
_______________________________________
Petang tu dia bawa aku keliling dapur. Suasana bising tapi harmoni. Macam orkestra yang setiap alatnya mainkan lagu sendiri tapi tetap berpadu.
"Tu Sally, ketua salad. Mulut dia macam cili api, tapi kerja jalan."
Gadis bertudung dengan apron corak tomato. Sekali pandang macam manja, tapi tangan dia cekap.
"Odah. Dia pegang dessert. Jangan sentuh puding dia kalau kau sayang nyawa."
Odah cuma angkat kening. Muka tak senyum, tapi mata dia curi pandang. Awal-awal aku tahu, dia pemerhati.
"Syidi, tukang grill. Kalau dia marah, biar je. Dia tak akan marah lama."
Syidi angkat tangan dan sambung tekan timer.
Dan akhirnya...
"Fakhri."
Dia tengah basuh dulang besar di sinki belakang. Lengan bajunya dilipat ke siku. Air sabun memercik ke apron. Suara Firdaus menyapa dia, dan dia berpaling.
Tak ada senyum lebar. Hanya senyum kecil yang cukup untuk tunjuk dia bukan orang asing.
"Nama saya Fakhri," dia kata.
Suaranya sederhana. Bersih.
Aku angguk. "Hazim."
Dia kembali ke dulang tanpa tanya lebih. Tapi dalam ringkas itu, ada sesuatu yang tak aku faham waktu itu.
Dan mungkin... memang belum masa untuk faham.
_______________________________________
Malam pertama aku habis kerja, aku duduk sendiri di bangku belakang. Penat, tangan rasa macam nak tanggal, dan kasut basah kena sup tumpah.
Tapi waktu aku pandang ke dapur, aku nampak mereka masih gelak-gelak kecil. Masih bertikam lidah tentang order yang salah, tentang pelanggan yang cerewet, tentang siapa tukar lagu jadi dangdut.
Dan aku tahu, walaupun aku belum ada tempat dalam keluarga kecil itu, aku mahu cuba.
Bukan untuk disayangi.
Tapi untuk bertahan.
Dan di tengah dapur kecil itulah, dengan spatula, peluh, dan bau keju hangit - aku akan belajar tentang satu perasaan yang aku sendiri tak pernah sangka akan singgah.
ns216.73.216.8da2