
Fakhri, Julai 2015
Aku kembali ke IKBN selepas seminggu cuti. Hari-hari kembali sibuk seperti biasa, dengan kelas, bengkel, nota, peluh, jadual yang tak beri peluang untuk termenung lama. Tapi walau semua berjalan seperti biasa, sesuatu dalam diri aku terasa... kosong. Macam ada satu ruang yang pernah penuh, tapi kini senyap menunggu sesuatu yang aku sendiri tak tahu apa.
Malam pertama di bilik asrama, aku termenung lama lepas tutup lampu. Suara kipas berdengung perlahan di siling. Lampu dari luar tembus dari sela tingkap. Dan aku baring dengan mata terbuka, mengulang tayang satu malam di kepala aku, malam di rumah Abang Hazim.
Pelukan senyap itu. Roti bakar pagi itu. Mata dia waktu aku cakap aku nak pergi. Bukan adegan besar. Tapi semua terasa seperti gema. Berulang-ulang dalam kepala, dalam dada.
Aku buka WhatsApp. Nama dia masih di atas senarai. Aku taip 'dah sampai...' tapi aku padam sebelum tekan hantar. Aku taip lagi, 'terima kasih malam tu...', padam lagi.
Dan akhirnya... aku biar saja sunyi jadi perisai.
Bukan sebab aku tak nak balas.
Tapi sebab aku tak tahu bagaimana. Dan aku takut, bila aku mula balas, aku tak tahu bila aku akan mampu berhenti.
_______________________________________
Hari berganti minggu. Dia masih mesej. Mula-mula biasa;
"Kau sihat?"
Aku baca, tapi aku tak balas.
Minggu berikutnya dia tanya lagi;
"Kalau kau sibuk, aku faham. Cuma aku nak tahu kau okay."
Masih juga aku tak jawab. Tapi bukan kerana aku benci. Jauh sekali.
Dalam kepala aku, ada 100 alasan. Aku tak nak beri harapan. Aku tak mahu dia salah tafsir. Aku takut kalau aku balas, aku akan tarik dia lebih jauh dalam satu hubungan yang aku sendiri tak tahu hujungnya.
Tapi dalam hati... aku tahu, aku juga sedang menyakitkan dia.
Dan apa yang paling aku benci, aku tahu, dan aku tetap biarkan.
Kadang aku pegang telefon lama-lama. Mesej dia masih belum aku padam. Aku baca banyak kali. Aku kira berapa hari sekali dia mesej. Aku kira jarak masa antara satu mesej dengan mesej seterusnya.
Aku mula nampak, dia pun perlahan-lahan reda. Mesej dia jadi makin pendek. Makin jarang. Tapi nada dia masih sama. Baik, lembut, tak pernah menyalahkan.
Dan itulah yang paling menyakitkan. Dia tak marah. Tapi aku tahu... dia sedih.
_______________________________________
Dan pada satu malam, lewat malam, mesej itu sampai.
Panjang. Panjang sangat.
Dia luahkan semuanya. Rasa sunyi. Rasa tak dipedulikan. Rasa seolah-olah aku sedang 'padam' dia perlahan-lahan dari hidup aku. Tapi dia tak marah. Nada dia jujur. Sedih. Tapi tenang.
"Aku tak pernah ganggu kau lebih dari apa yang wajar..."
"Aku cuma nak kau ingat... aku pernah ada. Dan aku masih di sini."
"Aku bukan siapa-siapa. Tapi aku manusia, Fakhri. Aku ada hati. Dan hati aku luka."
Aku baca perlahan. Setiap ayat, seolah-olah ditulis dengan darah.
Dan untuk pertama kali sejak lama... aku menangis. Bukan kerana aku sedih pada dia. Tapi aku sedih pada diri sendiri. Kerana aku tak cukup berani untuk berterus-terang. Tak cukup kuat untuk berkata;
'Aku hargai kau, tapi aku tak mampu jadi seperti yang kau harapkan.'
Mesej itu... buat aku rasa kejam. Kejam kerana memilih untuk diam. Dan diam itu, lebih pedih daripada satu penolakan.
Aku pegang telefon aku lama malam tu.
Aku taip, 'Saya minta maaf...' Tapi aku padam.
Aku taip lagi, 'Abang Hazim... saya hargai abang. Tapi saya keliru...' Aku padam lagi.
Aku tak tahu nak balas macam mana. Aku takut apa jua yang aku tulis, hanya akan lebih melukakan dia. Akhirnya, aku cuma biarkan skrin gelap. Mesej itu tinggal di situ. Tiada balasan. Tiada apa-apa.
Itu mesej terakhir daripada dia.
Dan aku biarkan ia berakhir begitu. Dengan sunyi yang panjang dan luka yang senyap.
ns216.73.216.8da2