
Fakhri
38Please respect copyright.PENANA38kMUYXad8
Nama itu mula muncul dalam hidup aku bukan sebagai dentuman, tapi sebagai bisikan kecil yang tak pernah hilang.
Waktu pertama kali aku dengar suara dia, ia datang dari belakang tirai wap panas dan bunyi air paip. Dia tengah cuci dulang besar, tangan lincah, tapi gerak dia tetap lembut. Seolah-olah setiap benda yang disentuhnya ada jiwa yang perlu dijaga.
"Nama saya Fakhri," dia kata, tanpa tanya siapa aku.
Dan sejak hari itu, aku mula lihat dia lebih kerap. Bukan kerana aku mahu, tapi kerana mata aku mencari.
Dia bukan jenis suka tanya banyak. Tak ambil tahu hidup orang. Tapi bila dia lalu belakang kau, dia akan pastikan bahu dia tak sentuh. Bila dia nak ambil pinggan, dia akan sebut "Maaf, saya lalu ya."
Aku perasan benda kecil tu. Dan benda-benda kecil itulah yang akhirnya jadi besar.
_______________________________________
Minggu pertama, aku masih asing. Bila syif habis, yang lain terus keluar. Tapi Fakhri... dia selalu lambat sikit. Ambil masa kemas station, susun sudu, basuh tangan.
Satu malam, aku tertinggal tupperware dalam microwave. Masa aku patah balik ke dapur, lampu dah suram. Dan aku nampak dia, berdiri depan pintu peti ais, makan kuih seri muka perlahan-lahan.
Dia tersentak bila aku masuk.
"Maaf, saya ingat abang dah balik."
"Belum lagi," aku balas. "Aku tertinggal bekas lauk."
Dia ketawa kecil, kemudian hulurkan satu potongan kuih.
"Mak saya buat. Nak rasa?"
Aku ambil. Manis. Lembut. Tapi apa yang lebih lembut adalah cara dia tengok aku makan. Seolah-olah dia benar-benar nak tahu aku suka atau tak.
"Sedap," aku kata.
"Saya bagitahu mak nanti," jawab dia, senyum perlahan.
Dan malam itu, aku tahu, ada sesuatu tentang dia yang tak ramai orang ada.
Hari-hari berlalu. Kami makin biasa. Tapi aku masih tak panggil dia 'adik', walaupun beza umur kami dekat lima tahun. Sebab dia bukan budak kecil yang perlu diajar. Dia lebih tahu tentang rasa hormat daripada kebanyakan orang yang sebaya aku.
_______________________________________
Satu malam, restoran terlalu sesak. Order masuk tanpa henti, macam banjir yang tak sempat disekat. Bunyi kuali, dentingan sudu, suara pelanggan yang bising dari ruang makan, semua bersatu jadi satu simfoni yang buat kepala aku rasa berdengung.
Aku, seperti biasa, jaga prep station. Potong sayur, susun bahan mentah, sediakan pesanan ikut kod. Tangan aku dah tak cukup dua. Dada aku makin sempit.
"Oi, lambat sangat! Table 7 nak spaghetti sekarang!"
Firdaus dah naik suara dari hujung dapur. Sally hempas sudip ke dalam sinki. Odah tekan loceng panggil makanan sampai hampir patah loceng tu. Peluh dah mengalir kat belakang leher aku. Sayur bertabur atas lantai. Daging ayam masih keras beku. Fokus aku dah entah ke mana.
Waktu tu, aku nampak Fakhri di seberang, tengah plating nasi goreng. Tanpa fikir panjang, aku panggil,
"Weh!"
Dia menoleh, sekejap je. Tapi mata dia tangkap keresahan aku. Tanpa tanya apa-apa, tanpa tunggu isyarat kedua, dia terus letak pinggan atas meja dan datang ke sisi aku.
Sampai sahaja di hadapan station, dia berdiri dua saat, seakan terkejut keadaan aku yang penuh kekalutan waktu tu, dia berhenti sejenak, seperti seorang juri yang sedang menilai masakan pelajar gagal. Matanya mengamati segala yang berterabur atas meja, dan dengan muka separuh terkejut, dia bersuara;
"Ni station abang ke?" dia tanya sambil angkat kening tinggi.
"Kenapa... macam tapak sisa peperangan?"
Kemudian dia buat muka macam terkejut, yang dibuat-buat sangat.
"Allahu.. Ni dapur ke kapal karam? Nak saya tolong ke kena panggil bomba ni?" katanya sambil senyum menyenget.
Aku tak tahan, aku ketap bibir sambil tampar kecil lengan dia.
"Wah, kurang ajar. Ni dah lebih ni..!"
Dia gelak kecil. "Saya gurau je, Abang Hazim. Tapi serious la, ni kalau mak Abang nampak ni, memang masuk dalam grup WhatsApp family. Aib ni.."
Aku tayang senyum pahit sambil garu tengkuk.
"Nak buat macam mana, tak cukup tangan. Kepala dah nak tercabut tadi."
Dia tak balas, cuma dah mula susun bahan, tangan dia laju, tenang, cekap. Sambil potong bawang, sempat dia selit;
"Nasib baik saya sempat selamatkan maruah Abang."
Aku gelak. "Wah.. Jangan terlebih hero pulak ek."
Dan kami mula gerak sama-sama. Aku ambil mangkuk, dia isi. Aku buka pek, dia potong. Gerak kami selari. Macam dua orang yang dah lama faham bahasa diam masing-masing.
"Abang macam nak pengsan tadi," dia usik sambil cuci tangan.
Aku cebik. "Kau pulak macam chef lima bintang."
Dia balas dengan senyum senget. "Jangan jeles."
Dalam huru-hara tu, aku rasa sesuatu. Rasa tenang. Rasa selamat, walau semua orang tengah naik angin. Dan itulah Fakhri. Bila semua benda terasa macam nak pecah, dia datang sebagai orang yang tak perlu cakap banyak, tapi tahu tepat kat mana nak tolong.
Aku hembus nafas perlahan, tengok suasana dapur yang mula reda.
"Terima kasih, doh... Kau memang penyelamat aku malam ni."
Dia jeling sebelah mata sambil hulur sudu bersih.
"Tarapapaa... kicik punya hal."
_______________________________________
Ada malam aku demam. Tak tinggi, tapi cukup buat kepala aku berat. Aku tetap datang kerja. Tak mahu nampak lemah. Tapi tubuh tak boleh tipu.
"Allahu..." keluhku perlahan..
Fakhri yang berada di sebelah tengok aku sekejap, kemudian berlalu. Aku sangka dia malas layan. Tapi beberapa minit kemudian, dia datang semula. Letak sebotol air isotonik kat atas meja.
"Minum ni, bang. Nanti pengsan, siapa nak teman saya closing?"
Aku gelak kecil, walau suara serak. Tapi dalam hati aku rasa... disentuh. Bukan oleh air itu, tapi oleh perhatian yang aku tak minta pun.
Malam tu, waktu kami sama-sama balik, hujan rintik masih setia turun membasahi kota Seremban. Jalan sunyi. Angin sejuk. Aku jalan perlahan sebab badan dah tak larat.
"Saya temankan sampai depan rumah, boleh?"
"Kau tak penat?" aku tanya.
"Penat tu biasa. Abang tak sihat tu luar biasa."
Dan kami jalan dalam diam. Kadang aku pandang dia, tapi dia hanya pandang depan. Bila sampai depan pintu rumah sewa aku, dia pandang sekali lagi.
"Abang okey?"
Aku angguk.
"Kalau jatuh pengsan dalam bilik, takde orang tahu ni."
Aku tergelak kecil.
"Kalau aku tak datang esok, kau kena datang cari." Seloroh ku.
Dia pandang aku. "Janji."
Aku tak tahu kenapa. Tapi waktu dia kata 'janji', aku rasa dunia berhenti sekejap. Kata 'janji' tu seolah dia khuatirkan aku, dan janji untuk cari aku jika aku tiada di restoran esok.
Dan malam itu, aku masuk rumah dengan hati yang lebih tenang dari kebiasaannya. Walau badan lemah, jiwa aku... rasa dijaga.
_______________________________________
Esoknya aku tetap datang kerja. Tapi sepanjang syif, aku asyik fikir - kalau bukan sebab dia, mungkin aku dah berhenti dari hari pertama. Dia tak pernah buat apa-apa yang luar biasa. Tapi caranya hadir... buat aku rasa tak lagi sendirian.
Dan walaupun waktu itu aku masih belum tahu namanya akan melekat lama dalam hidup aku, aku tahu satu perkara;
Aku dah mula menunggu... kehadiran dia.
ns216.73.216.8da2