
Hazim, November 2014
Ada rasa yang datang macam hujan. Tiba-tiba lebat, membasah terus ke hati. Tapi rasa aku pada Fakhri... datang seperti kabus. Tak terus nampak. Tapi diam-diam menyelubung segala.
Aku tak tahu bila ia bermula. Tapi aku tahu, aku tak mampu hentikan.
Kadang-kadang aku cuma duduk di prep station, pura-pura sibuk hiris timun. Tapi mata aku curi pandang ke arah dia. Cara dia buka peti ais, cara dia susun daun salad, cara dia cakap 'baik' walau kena marah.
Semua tu... tak sepatutnya indah. Tapi entah kenapa, pada mata aku - segalanya tentang dia jadi perlahan dan penuh makna.
_______________________________________
Pernah satu malam, dia terlupa bawa apron. Aku hulurkan apron aku sendiri.
"Guna ni dulu. Aku pinjamkan."
Dia ambil, jari dia sentuh sikit tangan aku.
"Terima kasih, bang. Nanti saya basuh dan pulangkan."
"Kalau kau simpan pun tak apa..." aku jawab, seloroh.
Dia senyum. Senyuman pendek tapi cukup buat aku termangu.
_______________________________________
Satu waktu, aku balik dari stor dan nampak dia terlena di meja rehat.
Lampu malap dan bunyi kipas lama berputar perlahan menemani dia di situ. Dia bersandar di kerusi, kepala jatuh ke sisi. Nafas dia perlahan, bibir sedikit terbuka. Dalam keletihan pun, dia masih nampak tenang.
Aku capai jaket aku, dan letak atas bahu dia perlahan-lahan.
"Tidurlah, kau penat sangat hari ni," aku bisik.
Walaupun aku tahu dia tak dengar, tapi aku tetap cakap. Sebab kadang-kadang... kita cuma mahu satu ayat dari hati kita sampai ke hati dia, walaupun tanpa jawapan.
Dan malam itu aku duduk diam-diam di tepi dia, hanya menatap. Dengan dada yang sesak tapi tak tahu bagaimana nak reda. Sebab bila orang yang kau sayang sedang lena, itulah saat paling menyakitkan dan paling indah dalam masa yang sama. Inilah satu-satunya waktu yang aku boleh tenung dia lama-lama tanpa rasa takut ditanya 'kenapa'.
_______________________________________
Ada juga malam dia hulurkan separuh sandwich dia. Aku terlepas makan sebab urusan dapur terlalu lama. Dia datang, letak makanan atas meja aku.
"Abang makanlah. Saya kenyang."
Padahal aku tahu, dia belum makan pun. Aku tahu sebab aku nampak dia sibuk dari awal. Tapi dia tetap hulur, dengan suara tenang macam itu perkaa biasa.
Aku cuma pandang. Tak mampu cakap terima kasih pun. Hanya jeling mata yang terlalu berat dengan rasa yang aku tak tahu nak namakan apa.
_______________________________________
Ada juga ketika dia bertanya;
"Abang okey hari ni?"
Cuma dari jauh. Tapi pandangan dia ikhlas, tak dibuat-buat. Aku angguk, tapi dalam dada ada air pasang yang naik perlahan-lahan. Sebab suara dia... adalah satu-satunya suara yang buat aku rasa hidup pada hari-hari aku rasa mati.
_______________________________________
Aku mula takut.
Takut kalau rasa ini menjerat aku. Takut kalau aku sayang lebih, aku akan sakit lebih. Tapi aku juga tahu, tak buat apa-apu pun aku tetap akan rasa perit yang sama.
Aku takut jika satu hari nanti, bila aku buka mata, dia dah tiada di sisi. Bukan kerana benci, tapi kerana takdir tak beri ruang untuk aku simpan dia lebih lama.
Ada malam-malam yang aku habiskan dengan kepala menekur meja. Terfikir, sampai bila aku boleh simpan rasa ini sendiri? Sampai bila aku boleh tengok dia pergi kerja, balik kerja, senyum dan ketawa... tanpa aku mampu kata;
'Aku sayang kau, Fakhri.'
Tapi aku tahu, kalau aku luah, semua yang indah mungkin akan hancur. Dan aku tak sanggup kehilangan dia dalam bentuk apa pun.
Jadi aku simpan. Aku bungkus rasa tu dengan doa. Walau aku tahu, tak semua doa akan naik ke langit. Kadang-kadang ia tersangkut pada dinding dada sendiri dan jatuh semula sebagai tangisan paling senyap.
Dan diam aku... jadi tempat paling bising dalam hidup aku.
ns216.73.216.8da2