
Hazim, Disember 2014
"Abang, hari Ahad nanti... abang free tak?"
Teks itu masuk waktu aku baru nak lena. Ringkas. Tapi macam satu semesta baru tiba di hujung malam. Fakhri jarang ajak keluar, apatah lagi kalau aku tak mulakan dulu. Tapi kali ni... dia yang mula. Dan hari Ahad pula-hari rehat kami dari restoran, hari yang seolah-olah dikhaskan untuk diam dan tidur.
Tapi malam itu, aku tak boleh tidur.
Aku ulang baca mesej dia. Bayang suara dia baca balik ayat tu dalam kepala aku. Kadang-kadang, aku rasa sayang ni satu jenis kesakitan yang lembut. Dia tak sembuh, tapi dia tak membunuh. Cuma... dia buat jantung aku berdegup terlalu kuat, terlalu laju, bila Fakhri tiba-tiba mahu bahagiakan aku.
_______________________________________
Ahad. Langit bersih seperti hela nafas yang belum dicemari keluhan. Pagi yang sempurna.
Fakhri tiba dulu di tepi jalan, menunggu teksi. Baju T warna kelabu dengan jeans biru lusuh. Rambut dia beralun sedikit, kesan angin pagi. Dia nampak aku dan senyum. Senyuman yang selalu membuat aku lupa yang aku sedang berdosa menyayangi dia dengan cara begini.
Aku lari anak menghampiri, menyembunyikan degup dada di sebalik sapaan biasa.
"Awalnya kau," aku tegur, jaga nada supaya tak nampak terlalu teruja.
"Saya tak sabar," jawabnya. "Tak lena sangat tidur semalam."
Aku gelak sikit. "Macam budak nak pergi lawatan sekolah."
Dia senyum lagi, lebih besar kali ni. Dan aku, diam-diam mencatat semua ni dalam hati. Aku nak simpan hari ni sampai tua nanti.
Teksi sampai. Kami naik, duduk sebelah menyebelah. Pintu ditutup, dan dunia luar hilang sedikit demi sedikit. Yang tinggal cuma kami.
"Abang pernah pergi Palm Mall tak?" dia tanya.
"Pernah... tapi tak pernah dengan kau," jawabku.
Dia ketawa kecil. "Kita ubah sejarah abang hari ni."
Dan aku tahu... aku akan bercerita tentang hari ini pada diri aku yang akan datang.
_______________________________________
Wayang kami bermula jam sebelas. Fakhri pilih filem Big Hero 6. Katanya dia belum tengok. Aku setuju, walaupun aku dah tengok dua kali.
Dalam panggung, gelap dan sejuk. Bau karamel dan plastik.
Kami duduk rapat. Aku dapat rasa tangan dia di sisi. Tak bersentuh, tapi dekat. Dan pelik, macam ada sesuatu dalam ruang kecil antara kami tu yang buat aku tak berani gerak terlalu banyak.
Kadang aku jeling dia dari tepi. Matanya penuh riang, pipi dia terangkat bila dia ketawa. Aku simpan semua tu diam-diam dalam kepala. Biar nanti, bila sunyi menggigit, aku boleh ulang tayang dalam ingatan. Dia ketawa lagi bila Baymax terhimpit pintu. Dia tunduk sikit ke arah aku dan bisik, "Comel gila."
Dan aku senyum. Tapi dalam hati aku seru,
kau lagi comel. Tapi mana mungkin aku boleh sebut begitu.
Selepas satu babak sedih, dia bisik lagi, "Saya suka watak Baymax. Dia jaga orang macam... macam tanggungjawab. Tak mintak balas."
Aku angguk. Dalam hati aku bisik;
'Macam kau juga, Fakhri. Tapi kau tak tahu siapa yang sedang jadi Baymax dalam hidup kau.'
_______________________________________
Habis filem, kami jalan sekitar mall. Masuk kedai kasut, dia cuba sneakers putih.
"Cantik tak?" tanya dia, berpusing depan cermin.
Aku renung dia. Dalam kepala, aku jawab; Cantik. Bukan sebab kasut. Tapi sebab kau.
Tapi mulut aku hanya kata, "Kalau kau pakai karung guni pun, kau masih nampak elok."
Dia ketawa kuat. "Gila abang ni."
Dan aku teruskan hari tu dengan ayat-ayat yang seolah bergurau, padahal semuanya tulus dari dada. Hari ni, aku mahu jadi lelaki yang buat dia ketawa paling banyak. Kalau pun aku tak boleh jadi orang yang dia cintai, biarlah aku jadi sebab dia bahagia.
_______________________________________
Sebelum makan, dia ajak aku solat Asar di surau Palm Mall. Aku terdiam sekejap. Bukan sebab pelik nak solat, tapi... sebab dia yang ajak.
"Jom, abang. Kita sempat lagi sebelum makan," katanya, senyum ringkas.
Kami ambil wuduk bersama. Air paip surau sejuk. Aku curi pandang dia beberapa kali. Gerak-gerinya tenang. Wajahnya bila basuh muka, seperti orang yang memadam beban dunia.
Masuk ruang solat. Hanya ada kami berdua.
Dia pandang aku, dan tanya dengan suara rendah, "Boleh saya jadi imam?"
Aku angguk. Tapi dalam hati... aku senyap. Sebab aku tak sangka, aku sedang berdiri di belakang orang yang paling aku sayang, dalam barisan yang paling hampir dengan Tuhan.
Dia angkat takbir.
Dan suara dia... lembut. Jelas. Tegas. Setiap ayat yang keluar dari mulut dia, seolah-olah sampai tepat ke tempat kosong dalam dada aku.
Waktu sujud, aku tunduk lebih dalam. Cuba tahan air mata yang entah kenapa datang tiba-tiba.
Hari ni, Tuhan bagi aku lebih dari cukup.
_______________________________________
Kami makan KFC lepas tu. Aku pesan set biasa. Dia lebih suka burger. Kami duduk meja sudut, tak ramai orang.
"Abang ni jenis tenang je. Tak pernah nampak marah," katanya sambil main straw dalam air gas.
"Marah pun takkan ubah apa," aku jawab.
Dia angguk perlahan.
"Kalau saya ada kakak... saya nak sangat kenalkan abang dengan dia."
Aku senyum sambil kunyah perlahan. Tak tahu nak kata apa. Satu sisi dalam hati aku menjerit, tapi aku tak nak kakak kau, Fakhri. Aku cuma nak kau.
Tapi mulut aku sekadar membalas,. "Kalau aku ada adik perempuan, aku tak bercadang nak kenalkan pada kau."
"Eh, kenapa pulak?"
"Sebab aku nak simpan kau untuk aku sorang."
Dia terdiam. Kemudian, ketawa sambil cubit lengan aku. "Abang ni... makin lama makin pelik."
Dan aku ketawa sama. Tapi dalam hati aku, aku sedang buat pengakuan paling berani dalam hidup, dengan cara yang tak akan dia faham.
_______________________________________
Petang, kami duduk di taman kecil dekat mall. Matahari makin jatuh. Angin bertiup lembut. Kami duduk atas bangku batu, senyap sebentar.
"Abang pernah terfikir tak," kata dia tiba-tiba. "Lepas ni hidup kita macam mana agaknya."
Aku pandang dia. "Maksud kau?"
"Kita kerja kat restoran. Gaji tak banyak. Masa depan kabur. Tapi abang nampak macam... tenang. Macam tahu semuanya akan okay."
Aku tarik nafas.
"Mungkin sebab aku dah lama letak harapan aku atas benda kecil," jawabku. "Macam cuaca hari ini. Atau... macam bila kau ajak aku keluar hari ni."
Fakhri pandang aku. Lama.
"Abang pelik."
Aku ketawa. "Aku tahu."
"Tapi pelik yang buat saya rasa selesa."
Aku senyum. Tapi sebelum sempat aku balas, dia tunduk, pegang hujung bajunya macam fikir sesuatu.
"Abang tahu tak?" katanya perlahan. "Tadi waktu solat, saya perasan abang tenung saya lama masa wuduk."
Aku terdiam. Jantung aku berdetak laju.
Dia angkat muka, renung aku sambil senyum kecil. "Mula-mula saya ingat abang tak perasan, tapi rupanya abang memang selalu perhati, ya?"
Aku gelabah sedikit, cuba selindung dengan gelak kecil. "Mana ada. Aku cuma... pastikan kau basuh tangan betul-betul."
Dia gelak perlahan. "Yelah tu."
Dan entah kenapa, dalam gelak dia yang biasa itu, aku rasa macam dia tahu. Tapi dia tak mahu tanya lebih. Aku syak dia dah lama tahu, cuma dia tak mahu rosakkan apa yang kami ada sekarang.
Dan aku bersyukur untuk itu.
Dan di situ, di bawah langit kelabu muda yang hampir malam, aku sedar satu hal yang aku tak pernah perasan selama ni.
Fakhri ada tahi lalat kecil di bawah kelopak matanya. Betul-betul bila dia senyum ikhlas, titik itu timbul. Kecil sangat, tapi tak pernah gagal muncul waktu dia bahagia.
Dan aku fikir, ya Tuhan... apa lagi yang aku belum tahu tentang dia?
Mungkin seluruh hidup aku nanti akan jadi proses perlahan untuk kenal semua sisi dia, yang dia sendiri tak sedar dia miliki.
_______________________________________
Kami keluar dari mall waktu senja. Langit jingga dan lampu-lampu jalan mula menyala. Kami naik teksi untuk balik ke arah restoran. Sepanjang perjalanan, kami hanya diam. Bukan diam yang canggung. Tapi diam yang penuh rasa cukup.
Sesekali aku pandang Fakhri yang kepalanya bersandar di tingkap. Rambut dia sedikit kusut, tapi wajah dia tenang. Tenang yang aku sendiri tak mampu capai.
Dalam diam itu, aku berdoa. Semoga waktu membeku. Semoga aku boleh duduk sebelah dia selamanya, dalam ruang kecil teksi ini, tanpa perlu memikirkan esok.
Teksi berhenti depan restoran. Kami turun.
Malam mula mengambil tempat.
Kami jalan kaki perlahan ke simpang tempat kami berpisah untuk ke rumah masing-masing. Di situ, kami berhenti.
Dia pandang aku.
"Terima kasih bang untuk hari ni."
"Patutnya aku yang cakap macam tu."
Dia senyum.
Dan sekali lagi, aku nampak titik kecil bawah kelopak mata dia itu. Tahi lalat kecil yang buat aku jatuh lebih dalam hari ini. Tak sangka aku boleh teruja pada perkara sekecil itu.
"Esok kerja balik," katanya separa mengeluh.
Aku angguk. "Dan aku akan rindu hari ni."
Dia ketawa kecil.
"Abang..."
"Hmm?"
"Jika satu hari nanti saya kena pergi jauh dari sini... abang akan ingat saya?"
Aku senyum. Tapi dalam hati, sesuatu rasa meretak.
"Aku tak akan lupa orang yang pernah buat aku percaya hidup ni masih ada manis."
Dia tunduk sedikit, macam nak kata sesuatu tapi tak jadi. Akhirnya dia hanya ucap, "Selamat malam, bang."
"Selamat malam, jumpa esok."
Dia langkah pergi dulu. Aku berdiri diam, tengok belakang dia hilang di celah bangunan dan cahaya lampu jalan.
_______________________________________
Malam itu, aku duduk di katil sendiri. Sunyi. Tapi dada aku penuh. Macam satu dunia baru dah lahir dalam hati aku hari ini.
Aku akan simpan hari Ahad ini sampai mati.
Hari di mana aku jadi orang yang paling hampir dengan kebahagiaan. Walaupun cuma sebagai kawan, abang, dan lelaki yang dia tidak pernah tahu sedang menyayanginya dalam diam. Dan aku hampir percaya, mungkin cinta yang tak pernah disebut pun boleh jadi sempurna.
ns216.73.216.8da2