
Fakhri, September 2015
Hari-hari selepas mesej itu, hidup aku terus berjalan.
Aku kembali sibuk dengan latihan, tugasan, dan rakan-rakan yang tak pernah diam. Dari luar, hidup aku nampak biasa. Tapi dalam diri, ada ruang kosong yang tak pernah aku tahu wujud, sehinggalah aku sedar ia diisi oleh seseorang yang kini sedang aku hindari.
Aku cuba untuk tidak fikirkan dia. Tapi setiap kali aku makan mi segera di kafe, aku terbayang wajah Abang Hazim. Setiap kali dengar lagu lama dari telefon rakan sebilik, aku rasa seolah-olah masa berputar ke belakang. Kenangan datang tanpa izin, dan meninggalkan sesak yang aku tak tahu nak letak di mana.
Ada masa aku buka semula mesej panjang itu. Baca perlahan. Kadang aku menangis. Kadang aku senyum sambil rasa bersalah. Tapi aku tetap tak balas.
Dan dia juga... akhirnya berhenti menunggu. Tiada lagi notifikasi daripada dia. Tiada lagi 'kau okay?' atau 'hari hujan kat sini'. Lama-lama, senarai WhatsApp aku jadi asing tanpa nama dia.
Tapi jauh dalam hati, aku tahu, dia tak pernah pergi betul-betul.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
9Please respect copyright.PENANAAUlDb0hU73
Hazim, Februari 2016
Tahun bertukar. Dari 2015 ke 2016.
Tapi hati aku, masih tinggal di satu waktu yang tak sempat ditutup rapat. Aku kini di Shah Alam, Selangor. Suasana baru, kerja baru, orang baru. Tapi setiap kali aku duduk sendirian di bilik sewa kecil ini, aku tahu, aku tak pernah benar-benar pergi dari tempat lama. Kerana kenangan dengan Fakhri, tak pernah benarkan aku lupa.
Fakhri.
Nama yang aku sebut dalam setiap doa malam. Nama yang masih bergetar dalam dada bila aku dengar lagu-lagu yang dulu kami nyanyi separuh lirik. Nama yang aku ketik berkali-kali dalam WhatsApp, cuma untuk padam sebelum sempat tekan 'hantar'.
Sejak hari aku berhenti kerja di restoran itu, kami tak lagi berhubung. Dia tak langsung bertanya khabar. Aku pun tak cuba kejar. Mungkin sebab aku terluka. Mungkin sebab aku kecewa dengan jarak yang dia cipta. Tapi di sebalik semua itu, aku masih... tunggu.
Aku selalu fikir, satu hari nanti dia akan mesej. Minta maaf, mungkin. Atau ajak minum kopi, macam dulu. Dan waktu itu, aku akan senyum. Peluk dia kuat-kuat. Dan semua luka akan sembuh dengan satu tawa.
Tapi takdir punya cara sendiri untuk ajar kita tentang erti kehilangan.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
9Please respect copyright.PENANA9D4JJnjKAi
Fakhri, Disember 2016
Beberapa bulan kemudian, aku tamatkan pengajian.
Majlis konvokesyen berjalan sederhana. Gambar dengan kawan-kawan penuh di galeri telefon. Mak ayah tersenyum bangga. Dunia terasa seperti menunggu aku dengan segala kemungkinan. Aku balik ke rumah, rindu dengan suasana Seremban. Akhirnya aku ada masa untuk berehat. Tapi bila kawan-kawan sibuk cari kerja, aku pun mula buat perkara yang sama. Tak mahu ketinggalan.
Dalam seminggu dua tu, aku teringat juga nak mesej dia - Abang Hazim. Tapi ego dan takut bercampur, jadi satu dinding yang tebal. Aku tak tahu sama ada dia masih tunggu, atau dia dah tutup pintu tu lama dulu. Dan yang lebih menakutkan, aku tak tahu apa yang akan berlaku jika aku buka mulut. Adakah luka lama akan berdarah semula?
Malam-malam yang sunyi, aku pernah taip nama dia. Tengok gambar lama, gambar meja restoran, maggi dalam mangkuk plastik, atau video dia menguap waktu lepak malam. Aku senyum teringat semua kenangan tu. Tapi aku tak buat apa-apa. Aku masih diam. Diam yang kini terasa seperti satu kebodohan yang panjang.
Sehingga satu pagi itu.
Langit masih kelabu. Angin pagi berhembus perlahan, membawa rasa sejuk yang ganjil. Mak sudah siap di dapur sejak awal, dia bekalkan aku nasi lemak bungkus dengan sambal kegemaran aku. Ayah duduk di meja, sempat pesan supaya aku tenang semasa temuduga. Aku senyum, salam tangan mereka, dan keluar dengan hati yang sedikit lapang. Ada debar yang halus. Tapi ada harapan juga - bahawa mungkin ini langkah pertama aku ke arah hidup yang baru.
Jalan besar masih lengang. Kabus pagi menari-nari di permukaan jalan. Aku tunggang motosikal dengan tenang. Lagu di fon telinga memutarkan senarai lagu-lagu lama - lagu yang pernah Abang Hazim pasang waktu malam kami makan mi segera di rumah sewa. Dan tanpa sedar, aku senyum kecil. Dalam hati aku sempat berbisik;
'Nanti... bila semuanya dah stabil... aku akan cari dia balik. Cukup sekadar bertanya khabar, jadilah.'
Sampai di satu simpang, aku perlahan sebab nak membelok ke kiri. Tayar belakang terasa sedikit goyang, mungkin kerana jalan basah akibat hujan malam tadi. Dari arah bertentangan, sebuah lori tiba-tiba memotong laju - memintas sebuah kereta dan membelok ke simpang yang sama dengan arahku.
Aku hanya sempat tarik brek. Dan tunduk.
Dentuman itu kuat. Besi dan badan bertemu tanpa amaran.
Dan dunia... jadi gelap.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *
9Please respect copyright.PENANAIxD443Xxpg
Hazim, Januari 2017
Pagi itu, aku baru sampai di tempat kerja. Langit masih kelabu, macam tak habis bermimpi. Langkah aku lesu masuk ke stor belakang, letak beg seperti biasa. Kipas lama di atas kepala berdengung perlahan, dan ruang itu disinari cahaya mentol kuning yang hampir padam.
Aku tuang air panas ke dalam cawan. Kopi 3-in-1 yang entah kali ke berapa minggu ni jadi peneman untuk pagi yang hambar dan sunyi tanpa nama.
Tiba-tiba telefon aku bergetar di atas meja. Ada panggilan masuk.
Sally.
Jarang-jarang dia telefon. Biasanya WhatsApp pun pendek-pendek saja. Hati aku terus rasa tak sedap.
Aku tekan butang hijau. "Assalamualaikum, Sally."
"Waalaikumussalam..." suara dia perlahan, sedikit serak. "Hazim... kau apa khabar?"
"Alhamdulillah... okey je. Kau?"
"Aku... aku okey..."
Sekejap diam. Cuma bunyi halus orang bercakap dari hujung talian.
"Aku tak ganggu ke? Kau kat mana ni?"
"Baru sampai tempat kerja. Tengah bancuh kopi," jawabku sambil duduk perlahan di bangku, rasa pelik mula merayap dalam dada.
"Oh... okey..." jawabnya, lebih perlahan lagi.
"Kenapa, Sally? Semua okey ke? Kau jarang call macam ni..."
Aku dengar dia tarik nafas panjang di hujung talian.
"Hazim... aku... aku tak tahu nak mula macam mana..."
Hati aku terus bergoncang.
"Sally, cakap je. Jangan buat aku tertanya-tanya macam ni."
Sekali lagi, diam. Tapi aku tahu dia sedang cuba cari kekuatan.
"Kau... kena banyak-banyak bersabar, ya..."
Jantung aku jatuh. Aku terus berdiri.
"Apa maksud kau? Apa dah jadi?"
"Hazim... Fakhri..."
Langit seperti berhenti bergerak. Nama itu... sebutan itu... buat seluruh ruang dalam dada aku kosong sekelip mata.
"Apa... kenapa dengan Fakhri?"
"Dia... dia kemalangan pagi tadi... Dalam perjalanan nak pergi interview kerja..." suara Sally hampir bergetar. "Hazim... dia dah tak ada."
Aku tak mampu berdiri lagi. Lutut aku lemah. Cawan kopi atas meja tak disentuh langsung. Telefon masih di tangan, tapi dunia di sekeliling aku terus gelap perlahan-lahan. Suara orang bercakap di luar stor, tak masuk langsung ke telinga aku.
Aku duduk di lantai, bersandar ke dinding. Mata aku tak kelip. Nafas aku pendek-pendek. Jemari aku menggigil.
"...Hazim?"
Sally masih di hujung talian.
"Hazim... aku tahu ini berat. Aku... aku tak tahu nak tenangkan kau macam mana. Tapi kalau kau nak tahu detail... atau perlukan apa-apa... aku akan mesej. Aku ada. Kau okey?"
Aku tak mampu jawab. Lidah aku kelu.
Yang ada cuma degupan jantung sendiri, kencang, tak berirama. Seolah-olah dada aku dihentak sesuatu yang tak nampak, tapi sangat berat.
Panggilan masih belum aku tamatkan. Tapi aku tahu, Sally pasti dengar esakan kecil yang aku cuba tahan. Dia diam, beri aku ruang. Biar aku hadam, biar aku jatuh, perlahan-lahan.
Air mata turun tanpa segan, basah di pipi yang mula sejuk.
"Sumpah... aku tak kuat..." bisikku dalam tangis yang tersekat-sekat.
"Hazim..." suara Sally perlahan, penuh simpati. "Aku tahu kau pernah jaga dia baik-baik dulu. Dan kau pernah bagi dia tempat yang paling istimewa... dalam hati kau, diam-diam."
Aku tunduk. Mata aku terpejam rapat. Nafas aku putus-putus.
"...tapi sekarang, doa kita je yang boleh sampai. Kau kena kuat... untuk dia. Mungkin tu je yang dia nak kau buat sekarang."
Aku tarik nafas perlahan, berat.
"Aku cuba..."
"Tak apa... aku akan WhatsApp kau nanti. Kalau kau perlukan apa-apa... aku ada, okay? Ambil masa."
"Ya... terima kasih, Sally."
Panggilan tamat. Tapi tangisan aku belum.
Aku menangis semula. Kali ini lebih dalam. Dan waktu itu... aku benar-benar sedar;
Fakhri.
Pergi.
Tanpa sempat aku peluk dia semula. Tanpa sempat aku maafkan dia... atau lebih tepat, maafkan diri aku sendiri. Kami tak bergaduh. Tapi kami juga tak pernah berbaik. Ada jurang senyap yang makin melebar... dan aku biarkan.
Aku biarkan dia pergi dengan rindu yang dia tak tahu, dengan kecewa yang dia tak faham, dengan kasih yang aku sorok terlalu dalam.
Dan kini... dia tiada.
Tiada lagi peluang untuk aku cakap,
'Aku tak marah, aku cuma rindu.'
Tiada lagi ruang untuk aku bisik,
'Aku masih sayang, walau kau dah jauh.'
Dan itulah yang paling menyakitkan, bila semua yang aku simpan akhirnya hanya bergema dalam diri sendiri, tanpa pernah sampai kepada dia.
Aku masih terbayang suara dia waktu gelak kecil, masih terdengar tapak kasut dia berjalan kesana-sini sewaktu di dapur restoran dulu, masih terbayang tepuk-sorai kami bergurau sewaktu bekerja, dan masih terkenangkan semua memori pahit-manis kami bersama. Semua itu kini jadi hantu kenangan. Menghantui ruang yang dulu dipanggil bahagia.
Kalau aku tahu pagi itu adalah kali terakhir, aku akan peluk dia lebih lama. Aku akan pandang mata dia sampai dia faham semua yang aku tak mampu sebut.
Tapi aku tak sempat.
Dan dia dah terlalu jauh untuk aku kejar.
Aku tak pergi ke pengebumiannya. Siapa aku pada mereka? Cuma bekas rakan sekerja. Tak lebih. Tiada sesiapa tahu aku pernah simpan dia dalam dada aku seperti nadi. Tiada siapa tahu, aku pernah tulis namanya dalam doa setiap malam... walau tanpa suara.
_____________________________________
Malam itu, aku duduk dalam gelap. Langsir tak aku buka. Kipas masih berputar perlahan. Tapi udara dalam bilik terasa mati. Sejadah terbentang, dan tubuh aku terasa kecil di atasnya. Terlalu kecil untuk menampung luka sebesar ini.
Aku buka surah Yasin dengan tangan yang menggigil. Setiap huruf aku lafazkan dengan suara yang pecah-pecah, tersekat oleh air mata yang tak mahu berhenti. Tapi aku baca juga. Ayat demi ayat. Nafas demi nafas. Aku baca bukan untuk memujuk dia yang telah pergi... Tapi untuk memujuk hati aku sendiri. Hati yang telah kehilangan satu-satunya manusia yang aku cinta, dalam diam, dalam doa, dalam setiap ruang yang tak pernah aku isi dengan sesiapa pun selepas dia.
'Ya Allah... kalau aku tak pernah sempat bahagiakan dia, Kau bahagiakanlah dia untuk aku di sisi-Mu.'
Dan malam itu, untuk pertama kali sejak bertahun... aku menangis dan meraung seperti anak kecil. Bukan kerana lemah, tapi kerana tak tahu lagi cara untuk jadi kuat. Tiada lagi kekuatan yang tinggal. Kerana kehilangan bukan sekadar ketiadaan. Ia adalah segala yang kita tak sempat perbaiki. Segala yang kita simpan terlalu lama... hingga akhirnya pecah, tanpa sempat disambut.
Dan aku tahu, luka ini tak akan sembuh.
Kerana ia bukan luka biasa.
Ia luka daripada cinta...
Yang tak sempat dilafazkan...
Tak sempat disambut...
Dan tak sempat dihargai...
Kecuali oleh hati aku sendiri.
9Please respect copyright.PENANATFkzPgAuks