
Hazim, Februari 2018
Setahun kemudian.
12Please respect copyright.PENANA66bcxa6bTW
Petang itu mendung.
Waktu seperti berdiri diam, walaupun pada hakikatnya sudah setahun bumi ini menelan nama yang selalu aku bisikkan setiap malam. Aku berdiri di hadapan pusara yang kini dipenuhi rumput halus dan bunga-bunga kecil yang tumbuh sendiri dari tanah. Batu nisan kayu masih di situ, kini sedikit condong dan mulai lusuh ditelan cuaca.
Nama yang selama ini hanya bergema dalam hati, masih tertulis dengan jelas; FAKHRI BIN AHMAD..
Aku pandang lama.
Angin menyapa tubuhku perlahan. Tapi yang lebih deras adalah angin dalam dada. Resah, sebak, dan rindu yang tak tahu ke mana harus diletakkan.
Aku datang seorang. Tak ada siapa tahu aku ke sini. Tak ada siapa pun yang perlu tahu. Ini bukan tentang siapa. Ini hanya tentang aku... dan dia.
Aku duduk perlahan. Jari aku menyentuh kelopak mawar yang tertinggal di hujung tanah. Mungkin dari ziarah orang lain. Tapi buat aku, ia seolah-olah pesanan terakhir dari langit.
"Fakhri..."
Itu kali pertama aku panggil namanya dengan suara. Dengan sebutan penuh, dengan dada yang bergetar, dan dengan air mata yang tak sempat aku tahan.
"Fakhri..."
Aku sebut sekali lagi. Perlahan. Tapi kali ini disambut oleh sunyi yang panjang. Oleh tanah yang tak memberi gema. Oleh dunia yang kini tinggal aku seorang di sisi kenangan yang tak sempat dijelaskan.
Aku keluarkan sapu tangan yang dulu dia pernah pinjam dan tak pulangkan. Aku bawa juga sekeping gambar kecil, gambar kami waktu kerja malam terakhir bersama. Gambar yang aku simpan dalam dompet selama ini, tapi tak pernah aku tunjukkan pada sesiapa.
"Maaf... aku tak cukup berani..."
Aku pejam mata. Nafas aku tarik dalam-dalam. Bayangnya hadir sekejap. Senyum dia. Suara dia. Gelak kecil dia bila aku salah eja nama pelanggan.
Aku menunduk.
"Maaf... aku tak cukup kuat untuk panggil nama kau dulu. Tak cukup jujur untuk cerita semua yang aku simpan diam-diam. Aku takut kalau aku buka mulut, aku hilang kau. Dan akhirnya... aku diam, sampai takdir yang ambil kau dari aku."
Hujan renyai mula jatuh dari langit, perlahan seperti tahu hati yang luka tak perlu disiram dengan deras. Aku biarkan saja. Biar basah. Biar bumi tahu aku masih belajar melepaskan.
"Malam tu, aku tulis mesej panjang untuk kau. Aku taip perlahan-lahan... setiap ayat aku pilih dengan hati-hati, sebab aku tak nak kau rasa aku mendesak. Tapi aku jujur. Aku cakap aku rindu. Aku cakap aku penat rasa macam tak diendahkan. Seolah kau sedang padam aku perlahan-lahan dari hidup kau. Tapi mesej tu... tak pernah berbalas."
Aku tarik nafas, suara bergetar.
"Aku tak pernah marah, Fakhri. Tak pernah. Aku cuma kecewa. Dan sampai hari ni... aku masih tunggu. Aku masih harap satu hari, walau dalam mimpi pun, kau jawab. Kata yang kau baca. Kata yang kau faham. Dan kalau kau datang semula pun... aku tak akan tanya kenapa. Aku akan terima, macam aku terima sunyi ni sekarang."
Aku diam.
"Hari aku tahu kau dah tak ada, dunia aku runtuh dalam diam, Fakhri.. Aku tak jerit, tak nangis depan sesiapa... Tapi bila aku berseorangan, aku rebah juga.. Aku menangis banyak kali Fakhri... dalam bantal, dalam doa, dalam gelap yang dulu pernah kau cerahkan. Aku menangis sampai aku tak tahu apa lagi yang tinggal dalam diri aku ini..
Banyak perkara yang ingin aku luahkan. Banyak perkara yang tak sempat kita betulkan. Semua tu buat aku rasa terkilan yang teramat sangat.
Aku nak datang masa hari pengebumian kau, aku betul-betul nak. Tapi aku tak kuat. Aku tak tahu nak letak diri aku kat mana. Kita tak pernah ada hubungan istimewa, kan? Aku bukan sesiapa. Jadi aku diam. Aku sorok rasa macam selama ni pun aku buat. Tapi hari-hari selepas tu... bukan mudah. Setahun yang senyap, yang penuh 'kalau'."
Aku tunduk, genggam tanah basah di sisi pusara.
"Maaf, Fakhri. Maaf sebab aku baru sampai hari ni. Setahun lambat. Bukan sebab aku lupa. Tapi sebab aku terlalu takut dengan kenyataan yang kau dah tak ada."
Aku pandang langit. Kelabu dan tenang. Hujan masih turun halus.
"Sebenarnya... aku sayang kau, Fakhri. Selama ni. Dalam diam. Dalam doa. Dalam harapan yang tak pernah aku suarakan. Bukan untuk minta kau terima, atau balas rasa ni. Cuma... aku nak kau tahu... ada seseorang yang sangat sayang pada kau, tanpa syarat. Tak pernah letak harapan, cuma doa. Tak pernah minta apa-apa, cuma kau bahagia. Itu pun... dah cukup untuk aku simpan rasa ni, sampai bila-bila."
Aku pejam mata. Bayangnya hadir lagi. Aku nampak matanya yang redup. Bahunya yang aku pernah tepuk bila dia diam terlalu lama. Suaranya yang pernah buat ruang kerja aku tak sunyi.
"Kalau aku tahu masa aku dah terlalu suntuk, aku akan peluk kau lebih lama malam itu. Aku akan tanya betul-betul, kau bahagia tak? Aku akan cerita... betapa setiap kali kau mula menjauh, aku jadi sunyi. Betapa aku rasa sepi bila kau tak lagi cari aku macam dulu. Dan betapa aku diam-diam berharap, walau sekali... kau patah balik."
Air mata aku tumpah lagi. Tak deras. Tapi cukup untuk basahkan baju di bahagian dada.
"Aku nak kau tahu... kau bukan persinggahan dalam hidup aku. Bukan bab kecil dalam buku yang aku boleh lipat dan lupakan. Kau adalah helaian yang aku akan ulang baca - walau aku tahu pengakhiran dia tetap sama."
Aku tahu aku bukan siapa-siapa dalam hidup dia. Aku tahu aku tak pernah punya hak. Tapi aku juga tahu, Tuhan beri aku peluang kenal seorang manusia yang luar biasa. Yang hadir sebagai adik, pergi sebagai kenangan, dan tinggal sebagai doa.
"Terima kasih sebab pernah hadir, Fakhri. Maaf... sebab aku hanya hargai dalam diam, dan simpan semuanya sendiri. Maaf juga... sebab sampai hari ni aku masih belum pandai melepaskan."
Aku bangun perlahan. Pusara itu aku pandang buat kali terakhir hari itu.
Dan dalam perjalanan pulang, aku tahu, ada bahagian dalam hati aku yang akan kekal kosong, dan hanya satu nama yang duduk di ruang itu. Nama yang dulu aku tak pernah sebut kuat-kuat, tapi kini aku zikirkan setiap malam sebelum tidur.
Fakhri.
Semoga Tuhan peluk kau dengan cinta yang tak mampu aku beri.
Semoga kau tahu... aku masih di sini.
Menyebut namamu dalam sunyi yang tak berdosa.
ns216.73.216.143da2