
Hazim, Disember 2024
Aku masih di sini.
Masih berjalan di atas dunia yang tak lagi menyimpan jejak langkahmu. Hari-hari berlalu, matahari masih terbit, hujan masih turun - tapi semuanya terasa redup. Kerana dalam hati aku, ada satu ruang yang tetap kosong. Ruang yang pernah diisi oleh seorang insan yang tak sempat aku peluk untuk kali terakhir.
Fakhri.
Lucu, kan?
Seumur hidup aku mengenal dia, aku tak pernah sebut namanya secara langsung.
Tak pernah panggil, "Fakhri, mari makan."
Tak pernah jerit, "Fakhri, cepat sikit!"
Selalu cuma "weh", "adik", "kau", "jom". Itu saja gelaran yang aku panggil selalunya. Nama 'Fakhri' itu hanya hidup dalam hati aku - berbisik senyap dalam doa, dalam puisi yang tak pernah aku tulis, dalam pandangan mata setiap kali dia tersenyum.
Aku tak tahu kenapa aku tak pernah panggil nama itu. Mungkin sebab aku tahu... kalau aku lafazkan, semua perasaan aku akan terbuka. Dan aku takut. Takut tak mampu sorok lagi rasa yang selama ini aku simpan rapi.
Tapi kini, nama itu menjadi satu-satunya yang aku sebut paling kerap. Dalam doa. Dalam tangis. Dalam sunyi yang panjang.
"Fakhri bin Ahmad"
Setiap malam, nama itu aku serahkan pada Tuhan.
Aku kadang-kadang terdengar suara serupa, di stesen bas, dalam surau, atau dalam tawa budak-budak jalanan. Ada senyum yang hampir menyerupai dia. Ada gaya jalan yang buat jantung aku berhenti seketika. Tapi bila aku toleh, semuanya orang asing. Kerana tak ada satu pun yang mampu meniru cahaya yang dia pernah bawa ke dalam hidup aku.
Aku masih simpan semua benda kecil yang pernah ada nilai besar; Nota-nota ringkas dia, gambar lama waktu makan maggi sama-sama, pesanan WhatsApp yang ringkas tapi penuh makna. Aku pernah cuba padam. Tapi jari aku beku. Kerana aku tahu, kalau aku hilangkan semua itu, aku akan hilang separuh daripada diri aku juga.
Fakhri bukan kekasih aku. Juga bukan keluarga. Tapi dia adalah satu-satunya manusia yang pernah membuatkan aku rasa... cukup. Walau hanya seketika.
Dan cinta itu, walau tidak pernah dilafaz, tetap suci. Kerana aku tak pernah minta dia membalas. Aku cuma minta dia tahu, bahawa ada seseorang di dunia ini yang pernah menyayanginya dalam diam yang paling tulus.
Kalau masa boleh diputar, aku tak mahu kami bercinta. Cukuplah kalau aku diberi satu peluang untuk peluk dia sekali lagi. Untuk pandang mata dia dan kata;
'Aku maafkan kau... maafkan aku juga.'
Tapi hidup bukan novel. Tak ada epilog yang sempurna. Yang ada cuma sisa-sisa kenangan yang kekal jadi doa. Dan dalam setiap doa malam ku, aku akan terus sebut namanya. Bukan kerana aku belum redha... tapi kerana aku redha dengan cara yang paling perlahan.
Kau tahu, Fakhri?
Kalau aku diberi peluang sekali lagi, aku akan panggil nama kau dengan lantang. Bukan dengan lidah, tapi dengan hati yang telah pecah. Dan meskipun pecah, hati itu masih memilih untuk menyebut satu nama, yang aku simpan dalam doa, bukan dalam pelukan;
FAKHRI....
6Please respect copyright.PENANAgvdYKizV2t
6Please respect copyright.PENANA84M431fZ42
6Please respect copyright.PENANATQROCVJDnX
~TAMAT~
ns216.73.216.8da2